Berita

Tarif elektrik tak turun walau harga minyak dunia rendah

JOHOR BAHRU, 6 JAN: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air KeTTHA seharusnya memberi alasan mengapa Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak menurunkan tarif elektrik pada hujung tahun 2014,.

Pengarah Dasar DAP Johor, Wong Shu Qi berkata, ini kerana harga minyak mentah antarabangsa turun sepanjang enam bulan semenjak Jun 2014,

“Rakyat Malaysia berasa pelik, KeTTHA begitu pantas bertindak apabila TNB minta kementerian menaikkan tarif elektrik di saat harga bahan api meningkat.

“Apabila harga bahan api jatuh, TNB tidak pula meminta untuk menurunkan tarif elektrik malah mereka menolak pula tanggungjawab itu kepada KeTTHA,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan.

Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan mengkaji semula tarif elektrik mengikut harga bahan api setiap enam bulan.

Namun, kerajaan masih gagal untuk menurunkan tarif elektrik menjelang Januari 2015.

Dalam satu kenyataan pada 20 Disember, Timbalan Menteri KeTTHA Datuk Seri Mahzdir Khalid, berkata kerajaan akan mengkaji kedudukan semasa dalam menentukan tarif elektrik mulai Julai 2015 selepas memutuskan tarif semasa kekal sehingga Jun.

Kata Mahdzir kenaikan tidak berlaku sehingga Jun 2015 berikutan kos yang sepatutnya dikenakan kepada pengguna telah ditanggung pihak lain yang membuat pembayaran kepada kerajaan.

Justeru itu kata Shui Qi, adakah rakyat Malaysia akan terus membayar tarif elektrik tinggi sehingga Jun 2015, pada masa sama, KeTTHA berdiam diri walaupun seluruh rakyat Malaysia maklum bahawa harga minyak terus jatuh.

Ujarnya, sekiranya KeTTHA mendahulukan kepentingan rakyat dan menjalankan tanggungjawab, rakyat Malaysia seharusnya membayar tarif elektrik yang lebih munasabah bermula 1 Januari 2015.

“Harga minyak mentah antarabangsa telah turun ke titik terendah dalam 5 tahun, iaitu pada USD50 satu tong. Berapa banyak pula keuntungan yang akan dikaut TNB sepanjang enam bulan ini?

“Apa alasan KeTTHA untuk tidak mengkaji semula tarif elektrik pada hujung tahun 2014? soal Shu Qi yang juga ADUN Senai. – Roketkini.com