Berita

“1MDB, mana RM4 bilion pelaburan 1MDB di Kepulauan Cayman?

KUALA LUMPUR, 7 JAN: 1MDB sehingga kini gagal mendapatkan kembali baki RM4.07 bilion pelaburan kontroversi ‘dana berasingan’ di Kepulauan Cayman yang sepatutnya diterima sepenuhnya pada November 2014.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, perkara tersebut didedahkan dalam penyata kewangan 1MDB pada halaman 93 yang difailkan pada Oktober 2014.

Malah sehingga kini syarikat itu masih belum membayar balik hutang AS1.23 bilion (RM4.07 bilion) seperti yang dijanjikan.

“Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan juga dengan bangganya telah berjanji ia akan dikembalikan sepenuhnya kepada 1MDB pada akhir 2014,

“Tapi sehingga hari ini, selepas seminggu bulan Januari 2015 masih tiada tanda dana itu akan dikembalikan kepada Malaysia atau 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 23 Disember tahun lalu, Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin membuat kenyataan bercanggah dari penyata kewangan sebelum ini dengan mendakwa baki tersebut hanya akan dapat ditebus bulan depan.

The Edge Financial Daily pada 5 Januari lalu melaporkan bahawa Bank Negara Malaysia telah memanggil para eksekutif utama 1MDB dan memberi amaran akibat buruk sekiranya syarikat itu gagal memenuhi tarikh akhir bulan ini.

Manakala Reuters semalam melaporkan 1MDB terlepas dua tarikh akhir pembayaran balik hutang RM2 bilion pada November dan Disember 2014.

Ujar Tony, kegagalan 1MDB membayar pinjaman RM2 bilion memberi kesan kepada dua bank terbesar negara iaitu Maybank dan RHB yang memberi pinjaman kepada 1MDB,

“Lebih memburukkan keadaan, kegagalan 1MDB secara automatik akan mencetuskan kesilapan dalam baki hutang RM40 bilion, sekaligus mengakibatkan bencana kepada kerajaan, keseluruhan sistem kewangan dan pembayar cukai,” tegasnya.

Katanya kelewatan 1MDB membayar balik bukan sahaja menimbulkan lebih banyak persoalan terhadap syarikat milik kerajaan itu tapi turut mengancam kestabilan keseluruhan sisten kewangan negara.

Malah, sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang membisu dan langsung tidak bersuara dalam isu ini dipersoalkan

“Tindakan Najib yang terus membisu tentunya memusnahkan keyakinan pelaburan dan komuniti kewangan dalam pentadbirannya,” katanya. – Roketkini.com