Berita

Ke mana peruntukan RM800 juta untuk mangsa banjir? – Kit Siang

PENGKALAN CHEPA, 7 JAN: DAP mendesak Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan mendedahkan ke mana peruntukan RM800 juta yang diperuntukkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membantu mangsa banjir.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, seharusnya sebahagian peruntukan berjumlah diantara RM500 ke RM600 juta diserahkan kepada kerajaan Kelantan, namun tiada sesiapa di negeri berkenaan memperolehnya dalam masa dua minggu.

“Saya menziarahi Kota Bharu sebanyak tiga kali, Kuala Krai dua kali, malah telah ke kawasan ‘Ground Zero’ di Manek Urai dan Gua Musang.

“Tapi saya langsung tidak merasakan sejumlah RM500-RM600 juta telah dibelanjakan di Kelantan untuk membantu mangsa banjir.

“Apa kata Maslan dedahkan jumlah RM800 juta ini, berapa banyak telah dibelanjakan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyatakan, seharusnya audit terperinci dibuat terhadap peruntukan RM800 juta itu bagi memastikan tidak berlakunya sebarang keraguan.

“Kita bukan saja tidak boleh terlalu berjimat dalam usaha membantu mangsa banjir, tapi juga tidak boleh membazir walau sesen pun.

“Kesemua perbelanjaan kerajaan menangani bencana banjir mesti memberi manfaat langsung kepada mangsa dan bukannya usahawan, kroni dan pihak lain yang cuba mengaut untung,” ujarnya.

Pada 5 Januari lalu, Ahmad Maslan mendakwa kerajaan membelanjakan kira-kira RM800 juta menerusi MKN bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat.

Beliau berkata peruntukan berkenaan digunakan bagi membekalkan makanan, operasi logistik dan pembersihan rumah-rumah mangsa yang terlibat dalam musibah itu. – Roketkini.com