PENGKALAN CHEPA, 7 JAN: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mencadangkan kerajaan membekalkan pakaian seragam dan buku sekolah percuma kepada semua murid -murid yang dilanda banjir.
Ujarnya, peruntukan RM800 juta bantuan bencana banjir yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara perlu memberi manfaat secara terus kepada rakyat, terutamanya kepada keluarga yang terjejas akibat banjir, lebih-lebih lagi sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi.
“Saya mohon Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin untuk mengumumkan bahawa semua murid yang terjejas akibat banjir akan dibekalkan dengan dua set pakaian seragam sekolah, buku teks, buku latihan dan semua keperluan persekolahan yang lain.
“(Ini) akan menjadi bukti perbelanjaan yang begitu besar benar-benar memberi manfaat kepada mangsa banjir, dan bukannya satu angka fantasi RM800 juta yang dikatakan akan dibelanjakan untuk mangsa banjir, tetapi mereka tidak mendapat manfaat secara terus,” kata Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.
Justeru itu beliau berharap mesyuarat kabinet hari ini akan memberi berita gembira buat sejuta mangsa banjir, terutamanya mereka yang berada di kawasan paling teruk terjejas di Gua Musang dan Kuala Krai di Kelantan, serta Temerloh dan Mentakab di Pahang.
“Malah sebenarnya, adalah lebih baik jika mesyuarat Kabinet mewajibkan setiap Menteri, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, untuk melawat kawasan-kawasan Ground Zero di Manek Urai, terutamanya tempat paling teruk seperti di Kampung Manjor dan Kampung Manek Urai Lama.
“Lawatan tersebut pastinya membuat para menteri bukan sahaja lebih faham, malah lebih merendah diri dan komited untuk memastikan perbelanjaan mega membantu mangsa banjir benar-benar memberi faedah secara terus kepada mangsa,” ujar Kit Siang.
Sementara itu katanya, jangka masa enam bulan untuk memulihkan kerosakan akibat banjir adalah terlalu lama dan akan menimbulkan lebih banyak masalah di Kelantan.
Kata Kit Siang, sungguh pun kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob bahawa Kelantan memerlukan enam bulan untuk benar-benar pulih akibat banjir buruk adalah munasabah, namun tempoh itu terlalu lama.
“Ini sebabnya mesti wujudkan perubahan pola fikiran pihak berkuasa di peringkat Persekutuan, negeri dan tempatan demi memastikan tempoh pemulihan dapat dikurangkan kepada dua bulan,” kata Kita Siang.
Kata Kit Siang, pengisytiharan darurat penting bagi memusat dan menggerakkan segala sumber bagi membantu mangsa banjir di Gua Musang serta lain-lain kawasan di Kelantan agar penduduk dapat memulakan kehidupan baru.
Sekiranya darurat diisytiharkan, sekurang-kurangnya 150,000 anggota tentera boleh dikerah untuk membantu sejuta mangsa memulakan kehidupan.
“Bukan sahaja menjaga keselamatan dan mencegah wabak pasca banjir, tetapi membaikpulih prasarana seperti bekalan air dan elektrik, selain mendirikan tempat perlindungan sementara bagi membolehkan mereka memulakan kehidupan baru,” kata Kit Siang. – Roketkini.com