Berita

Pakatan wajib singkir kebiasaan ‘larang’ wanita berpolitik

GEORGETOWN , 7 JAN: Minda yang meminggirkan wanita dalam arena politik Malaysia harus disingkirkan kata Setiausaha DAPSY Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid.

Syerleena berkata, masih ada wanita yang enggan maju dalam politik bagi mengisi peranan kepimpinan, kerana diskriminasi gender menjadi masalah walaupun Pakatan Rakyat mempunyai ramai ahli berbakat.

DAP melalui persidangan mengorak langkah dengan pindaan perlembagaan yang menetapkan 30 peratus kuota wanita bagi mengisi Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP.

Ujar Syerleena , seharusnya langkah tersebut disambut positif bagi menggalakkan golongan wanita berperanan dalam proses membuat keputusan.

“Sedihnya, PKR dan PAS masih kurang penyertaan dan perwakilan dari kaum wanita, walaupun PKR sudah meminda perlembagaannya pada 2009 untuk memasukkan kuota 30 peratus.

“Manakala PAS dilaporkan tidak sanggup meletakkan kuota itu kerana pemimpin lelaki dan sebahagian pemimpin wanita sendiri tidak mahu, walaupun sayap wanitanya meminta kuota tersebut,” ujarnya.

Tambah Syerleena ahli politik wanita seringkali menjadi sasaran mudah kempen penghinaan musuh politik dan stereotaip negatif.

Ujarnya masyarakat telah dibiasakan bahawa kaum lelaki lebih bagus secara emosional dan bahkan secara genetik aktif politik.

“Kita masih dalam sistem patriarki yang menekan kebebasan wanita dan kebolehan mereka.

“Kita juga masih dalam kepompong seksisme dalaman bila seorang wanita menghina atau memperkecil wanita lain melalui organisasi memperjuang keimanan status patriarki mereka,” jelas beliau lagi.

Tahun lalu, Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA Johor ISMA, Dr Nur Farrah Nadia mengejutkan negara apabila berkata bahawa kaum lelaki perlu menguasai bidang pekerjaan untuk membolehkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Idea menyatakan bahawa wanita tidak mendapat sokongan masyarakat hanya mematahkan semangat kaum wanita.

“Anggapan remeh terhadap hakisan hak wanita yang tak berbaloi diperjuangkan adalah cabaran perjuangan,” kata Syerleena.

Tambahnya golongan wanita yang membentuk separuh penduduk Malaysia menunjukkan betapa perlunya golongan tersebut bersama memimpin dan dibenarkan berkhidmat tanpa gangguan dan diskriminasi

“Kita perlu cari punca kenapa ini berlaku dan kita harus berdepan dengan sistem patriarki ini.

“Kita harus memberi inspirasi dan menyuburkan idea agar golongan wanita boleh melihat diri mereka sebagai pemimpin masa depan, bukan hanya tempelan saja dalam entiti maskulin,” tegas Syerleena. – Roketkini.com