Berita

SELCAT adakan pendengaran awam enakmen kebebasan maklumat 27 Jan

SHAH ALAM, 7 JAN: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan mengadakan pendengaran awam pada 27 Januari ini bagi menyiasat keberkesanan pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) di Selangor.

“SELCAT telah menerima aduan bahawa pelaksanaan FOI 2011 tidak berkesan di kebanyakan jabatan kerajaan negeri.

“Kami memandang serius terhadap isu akses maklumat kepada orang awam dan memutuskan untuk mengadakan pendengaran awam pada 27 Januari ini mengenai isu tersebut,” kata Hannah yang juga Speaker DUN Selangor dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 5 Januari lalu, SELCAT bermesyuarat membincangkan pelaksanaan FOI dan Laporan Pengauditan Berkenaan Pembayaran Gratuiti oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan anak syarikatnya Menteri Besar Incorporated (MBI).

Berhubung isu laporan audit MBI, ahli jawatankuasa SELCAT menyatakan pendengaran awam tidak akan diadakan berikutan siasatan audit menyeluruh telah dijalankan kerajaan negeri.

“Laporan audit mengenai isu ini juga telahpun dibentangkan di dalam Dewan Negeri Selangor pada sesi November-Disember lalu,” ujarnya.

Selain Hannah, jawatankuasa SELCAT dianggotai oleh Adun Sekinchan Ng Suee Lim, Mohd Shafie Ngah (Bangi), Saari Sungib (Hulu Kelang), Haniza Talha (Taman Medan) dan Sulaiman Abd Razak (Permatang).

Lapan bekas kakitangan MBI di era pentadbiran Menteri Besar sebelum ini Tan Seri Khalid Ibrahim baru-baru ini diarah memulangkan semula pampasan RM2.6 juta yang diterima selepas berhenti dari perbadanan itu pada September 2014..

Menteri Besar Selangor Azmin Ali menegaskan , tempoh 14 hari telah diberikan selepas surat tuntutan diterima, seperti diarahkan pengurusan baru MBI.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI Faekah Husin dilaporkan menerima bayaran sebanyak RM581,400 dan RM114,000 sebagai ganti rugi kepada notis tiga bulan.

Manakala bekas Setiausaha Akhbar Khalid Ibrahim, Arfa’eza Abdul Aziz pula menerima sebanyak RM358,000 dan RM55,000 sementara Setiausaha Politik Mustapa Mohd Talib berjumlah RM265,000. – Roketkini.com