Berita

“Bukan mudah peniaga mahu ikut saranan Ahmad Maslan”

KULAI, 8 JAN: Seruan Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan kepada peniaga untuk menurunkan harga barangan tidak mudah dipatuhi golongan itu walaupun harga petrol sudah turun.

Menurut Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, peniaga sememangnya sentiasa mencari alasan untuk menaikkan harga barang jualan, namun jarang sekali menurunkan harga barang walaupun kos pembuatan sudah berkurang.

“Ini fitrah manusia,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Maslan sebelum ini pernah mendakwa tidak akan ada kenaikan harga untuk 48 peratus barangan, dan harga 42 peratus barangan akan turun apabila GST dilaksanakan.

“Dengan mengandaikan kaedah Ahmad Maslan tepat dan GST akan mengurangkan kos pengeluaran dan operasi beberapa barangan, apakah dia masih berpendapat peniaga begitu bermurah hati untuk menurunkan harga selepas 1 April?” soal Nie Ching.

Ahmad Maslan dalam tulisan di akaun twitternya 31 Disember lalu menggesa peniaga menurunkan harga ekoran penurunan harga petrol RON 95 dan RON 97 sebanyak 35 sen, dan diesel sebanyak 30 sen.

“RON95 RM1.91, diesel RM1.93, RON97 RM2.11 mulai 1/1/2015. Minyak turun lagi. Bila pula peniaga nak turunkan harga barang? Rakyat menunggu,” tulisnya di laman sosial tersebut.

“Amat menyedihkan, harga minyak sudah seminggu turun, tapi tak ada yang sambut seruan Ahmad Maslan,” ujar Nie Ching.

“Hasilnya mengecewakan dan mengejutkan. Orang terkejut jika ada peniaga mahu turunkan harga dan dengar nasihat Timbalan Menteri itu,” tambahnya.

Kata Nie Cing, kenyataan itu jelas menunjukkan sikap sambil lewa Ahli Parlimen Pontian itu tentang harga barang.

“Jika waktu harga petrol turun pun dia tidak mampu untuk menarik peniaga untuk turunkan harga, inikan pula bila GST sudah dilaksanakan,

“Macam manalah dia nak pastikan peniaga-peniaga itu dengar cakap dia?” sindir Nie Ching.

“Atau mungkin, Ahmad Maslan kena berhenti mimpi di siang hari.” – Roketkini.com