Berita

DAP bina replika Batu Sumpah dengan teks asal

PENAMPANG, 8 JAN: DAP akan meletakkan semula perkataan ‘Kerajaan Malaysia Jamin’ di replika Batu Sumpah untuk mengembalikan semula sejarah dan hak rakyat Sabah.

Setiausaha DAP Sabah Dr Edwin Bosi menegaskan, Batu Sumpah kelihatan seakan palsu tanpa tiga perkataan asal tersebut.

“Batu Sumpah itu tidak ada maknanya tanpa perkataan ‘Kerajaan Malaysia Jamin’ dan itulah sebabnya DAP melancarkan kempen membina sebuah replika di setiap kampung untuk mengingatkan rakyat mengenai jaminan tersebut,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan itu berkata, walaupun mendapat tentangan sesetengah pihak, replika seterusnya tetap akan dibina di Kampung Moyog Penampang.

Beliau turut menyatakan, tiga jaminan dalam Batu Sumpah merupakan perkara terpenting kepada seluruh rakyat Sabah terutama Orang Asal.

“Orang Asal mahukan kebebasan beragama kerana mereka mempunyai banyak kepercayaan.

“Mereka menghormati setiap kepercayaan atau agama lain kerana kesedaran bahawa ia adalah antara individu dan penciptanya,” ujarnya.

Edwin menyedari kehilangan teks asal tersebut ketika melawat Batu Sumpah bersama Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang pada 27 Julai tahun lalu dan telah membuat laporan polis mengenainya. – Roketkini.com