Berita

DAP kutuk serangan pengganas terhadap majalah Perancis Charlie Hebdo

Pihak berkuasa Perancis berkawal di hadapan pejabat majalah satira Charlie Hebdo di Paris (Gambar The Guardian)

KUALA LUMPUR, 8 JAN: DAP hari ini mengutuk sekeras-sekerasnya serangan ganas kelompok ekstremis terhadap majalah satira Perancis Charlie Hebdo malam tadi.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, walaupun tidak bersetuju dengan beberapa sindiran majalah tersebut tapi ia bukanlah jalan untuk mewajarkan ekstremisme terhadap sesiapa saja termasuk pengamal media.

“Individu yang menyerang dan melakukan pembunuhan tidak berperikemanusiaaan ini mesti dihadapkan ke muka pengadilan serta dijatuhi dengan hukuman setimpal.

“Kekejaman ini bukan saja membelakangi nilai-nilai sejagat manusia tetapi ia juga bertentangan dengan nilai Islam sebagai agama keamanan.

“DAP bersetiakawan bersama rakyat Perancis dalam detik sukar sebegini dan kita mesti bersatu menentang apa jua bentuk ekstremisme,” katanya dalam satu kenyataan.

Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa, rakan-rakan dan keluarga mangsa yang terlibat dalam pembunuhan kejam itu.

Media semalam melaporkan sekurang-kurangnya 12 orang terkorban selepas tiga lelaki yang dilengkapi senapang jenis Kalashnikovs dan pelancar peluru berpandu menyerang pejabat majalah mingguan Charlie Hebdo di Paris.

Antara 12 yang meninggal dunia itu merangkumi empat orang kartunis, editor majalah dan dua orang anggota polis. – Roketkini.com