Rencana

Mesyuarat Kabinet mengecewakan, tak bincang isu pokok tangani masalah banjir

Mesyuarat Kabinet semalam sangat mengecewakan kerana langsung tidak membincangkan lima isu pokok yang telah saya sebutkan dalam email kepada Najib – terutamanya tentang darurat, Sidang Parlimen Khas serta RCI mengenai kesiapsiagaan pengurusan bencana banjir‬

‪Mesyuarat Kabinet yang pertama dalam masa tiga minggu sejak bencana banjir terburuk meragut nyawa sekurang-kurangnya 23 korban, memindahkan suku juta mangsa, serta menjejaskan lebih sejuta orang dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit, adalah amat mengecewakan.‬

‪Ia langsung gagal untuk membincangkan walau satu pun daripada lima perkara mengenai bencana banjir yang telah saya sebutkan dalam email kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Ahad lalu; terutamanya mengenai perisytiharan darurat untuk menangani kerja-kerja pasca bencana dengan lebih cepat dan efisien; mengadakan sidang Parlimen khas dan juga menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan kesiapsiagaan pengurusan bencana banjir; selain daripada menubuhkan Majlis Tindakan Bersama BN-Pakatan Rakyat dan peruntukan RM500 juta sebagai pinjaman tanpa faedah antara RM1000 ke RM250,000 supaya mangsa banjir dapat memulakan semula perniagaan mereka,‬

‪Sewaktu Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di Kelantan, Selasa lalu untuk mempengerusikan mesyuarat koordinasi pasca banjir Kelantan, beliau berkata kerosakan terhadap harta benda awam berjumlah RM932.4 juta, namun data kerosakan yang dilaporkan oleh beberapa kementerian dan agensi kerajaan dalam kes-kes berikut sudah pun melebihi RM1.6 bilion, iaitu:‬

i. ‪ Kerosakan harta benda sekolah di Kelantan dan negeri-negeri lain – RM500 juta;‬

‪ii. ‪Membaiki jalan rosak dan tebing runtuh – RM434 juta;‬

‪iii. ‪Membaiki kerosakan stesen dan laluan keretapi – RM250 juta;‬

‪iv. ‪ Operasi membersih oleh Kementerian Kerajaan Tempatan di Kelantan sahaja: RM200 juta;‬

‪v. Baikpulih hospital dan klinik oleh Kementerian Kesihatan – RM270 juta‬

vi. ‪Membaikpulih balai polis yang rosak – RM15 juta‬

Tidak semua Kementerian dan agensi kerajaan telah mengumumkan penilaian kerosakan, dan angka di atas bukanlah anggaran terakhir bagi kerja membaikpulih yang diperlukan.‬

‪Seperti yang dikatakan Menteri Kesihatan Datuk Dr S. Subramaniam semalam, bil RM270 juta yang dianggarkan untuk memperbaiki kerosakan akibat banjir di Pantai Timur terhadap hospital dan klinik dijangka akan bertambah apabila maklumbalas diterima daripada kesemua agensi berkaitan, dan beliau turut menyebut bahawa kerajaan akan terpaksa membelanjakan sehingga RM1 bilion untuk kerja-kerja baikpulih keseluruhan bagi kementeriannya sahaja.‬

‪Adakah kita sedang melihat perbelanjaan berjumlah RM5 bilion hingga RM10 bilion oleh Kerajaan Malaysia untuk kerosakan akibat bencana banjir terburuk dalam sejarah Malaysia?‬

‪Jika ini adalah bil Kerajaan Persekutuan, bagaimana pula jumlah kerosakan yang dialami sektor swasta dan juga mangsa-mangsa banjir?‬

‪Apa yang lebih memeranjatkan ialah sejumlah RM800 juta yang menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pada hari Isnin lalu, telah dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan setakat ini ‘melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membantu mangsa banjir” menyediakan bekalan makanan, logistik dan membersihkan rumah-rumah mangsa.‬

‪Rakyat Malaysia langsung tidak percaya dengan angka RM800 juta yang digunakan oleh MKN untuk membantu mangsa ini, memandangkan mangsa dan juga NGO yang membantu dalam masa tiga minggu lalu pun tidak dapat menjadi saksi bahawa Kerajaan Persekutuan, melalui MKN telah membelanjakan separuh mahupun suku daripada peruntukan RM800 juta seperti yang didakwa Ahmad Maslan telah pun dibelanjakan.‬

‪Pada hari Selasa lalu, bersama Datuk Ambiga Sreenevasan, Ahli-ahli Parlimen Anthony Loke dan Liew Chin Tong, saya melawat kawasan-kawasan paling teruk terjejas di Manek Urai, Manjor, Karangan, Laloh, Dabong dan Kemubu. Tidak mungkin boleh dijalankan sebarang kerja-kerja pembersihan memandangkan tidak ada bekalan air mahupun elektrik di kawasan-kawasan tersebut selepas dua minggu bencana tersebut terjadi.‬

‪Pada tahap paling teruk, bencana tersebut mengakibatkan perpindahan hampir suku juta mangsa di beberapa buah pusat pemindahan. Terdapat tujuh hari di mana angka mangsa banjir melebihi 100,000 orang, daripada 26 Disember sehingga 1 Januari, iaitu:

banjir jadual-01 (1)

Tetapi ini bukanlah angka mangsa banjir terbesar dalam sejarah negara, seperti yang ditunjukkan dalam carta berikut mengenai banjir-banjir sebelum ini.‬

‪Kerosakan banjir dan jumlah mangsa bagi banjir terpilih di Semenanjung Malaysia‬

banjir jadual-01

Terdapat 678,000 mangsa dipindahkan sewaktu banjir tahun 1971 di tiga negeri Kelantan, Perak dan Terengganu. Berapa jumlah yang dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 1971, sewaktu arwah bapa Najib, Tun Razak menjadi Perdana Menteri, untuk ‘penyediaan makanan, logistik dan membersihkan rumah mangsa banjir’?‬

‪Adakah mana-mana Menteri mempersoalkan Kabinet semalam mempersoalkan mengenai dakwaan Ahmad Maslan bahawa RM800 juta telah pun dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk ‘penyediaan makanan, logistik dan membersihkan rumah mangsa banjir’?‬

‪Adakah mana-mana menteri menyebut bahawa kita tidak boleh berjimat untuk membantu mangsa banjir, namun tidak boleh membazir atau menyalahguna walau satu sen pun, dan semua mata sedang memerhati kerja-kerja pasca bencana bagi memastikan tidak ada salahlaku dalam pembayaran dana berbilion ringgit ini supaya ia menjadi contoh integriti dalam operasi membaikpulih bencana – memberi amaran bahawa sebuah bencana tidak sepatutnya diikuti satu lagi bencana berbilion ringgit dirompak oleh usahawan, kroni dan mereka yang mengaut untung daripada musibah?‬

‪Namun, Menteri mana yang berani untuk bertegas atau mengingatkan tentang kepentingan integriti dalam pembayaran dana operasi bantuan bencana bernilai berbilion ringgit, memandangkan Menteri Kewangan juga adalah Perdana Menteri sendiri, dan menimbulkan persoalan sedemikian mungkin dilihat mempertikai integriti Perdana Menteri sendiri?‬

‪Adakah mana-mana menteri menimbulkan dalam mesyuarat Kabinet tentang kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa mustahil bagi kerajaan untuk menyampaikan makanan kepada setiap isi rumah, bahawa kerajaan hanya boleh menyampaikan bantuan kepada mangsa melalui ketua kampung tetapi tidak boleh mengawal apa yang berlaku di peringkat akar umbi?‬

‪Ini langsung tidak boleh diterima, kerana sebuah kerajaan yang efisien dan bertanggungjawab mesti boleh menjamin bahawa bantuan kerajaan mestilah sampai kepada semua mangsa, yang tidak sepatutnya terus merana akibat menjadi mangsa diskriminasi ketua kampung, tidak kira atas sebab politik, agama atau apa-apa sebab sekalipun.‬

‪Atau adakah mana-mana Menteri Kabinet bertanya kepada Muhyiddin kenapa pelan kesiapsiagaan pengurusan bencana banjir begitu lemah, terutamanya di bawah Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikannya tidak kelihatan serius bersiap-sedia bagi menghadapi banjir; kerana beliau hanya mempengerusikan satu sahaja mesyuarat MKN sebelum banjir bagi tahun 2014, dan satu lagi sekitar 12 bulan lalu pada 3 Januari 2014.‬

‪Jelas sekali wujud keperluan untuk merombak semula MKN. Adakah ini dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam?‬