Berita

Tak guna Liow cakap banyak, segerakan audit KLIA2

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai perlu segera mengarahkan Ketua Audit Negara (AG) untuk menyiasat tambahan kos pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.berkata, Liow harus memastikan audit dibuat, dan bukannya sekadar memberikan sokongan lisan semata-mata.

“Liow tidak boleh berhenti dengan sekadar memberikan sokongan lisan kepada cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC).

“Enam minggu diambil secara lisan untuk menyokong cadangan PAC, jadi kami harap ia tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk beliau mengarahkan audit dibuat.

“Jika audit tidak menjadi kenyataan, saya yakin Liow akan malu besar sebagai seorang lagi Menteri BN yang hanya pandai bercakap tapi langsung tidak melakukan sebarang tindakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tony yang juga Ahli PAC turut menggesa Liow merangka pelan tindakan dan garis masa bersesuaian untuk audit tersebut.

“Penemuan laporan PAC mendapati banyak keputusan mencurigakan yang bukan saja menyebabkan KLIA2 melebihi kos asal RM1.7 bilion hingga terpaksa ditangguhkan beberapa kali, malah mengenai reka bentuk lapangan terbangan itu sendiri.

“Termasuk keputusan menempatkan KLIA2 di lokasi yang diakui jurutera sebagai tidak sesuai dan merugikan, selain pemilihan terminal satelit yang tidak mengikut cadangan perunding,” tegasnya.

PAC dalam laporan yang dibentangkan 26 November lalu mencadangkan Ketua Audit Negara melakukan audit terhadap KLIA 2 ekoran kos yang meningkat daripada RM1.7 bilion kepada RM4 bilion.

Selepas beberapa kali mengelak, pada 5 Januari lalu Liow akhirnya dilaporkan mengalu-alukan cadangan PAC supaya AG menyiasat KLIA 2 berkenaan salah urus dan ketirisan. – Roketkini.com