Berita

PAS Pusat hargai usaha DAP bantu mangsa banjir

KUALA KRAI, 10 JAN: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha DAP membantu mangsa banjir di Kelantan, khususnya di daerah terjejas teruk seperti Kuala Krai.

Dalam ucapan ketika pelancaran bantuan bencana banjir kerajaan negeri Pulau Pinang di pekan Kuala Krai, Mohamad yang lebih mesra dipanggil Mat Sabu berkata, gerak kerja rakan-rakan parti Pakatan termasuk PKR dan DAP dari seluruh negara amat dihargai, membuktikan kerjasama erat yang bukan sahaja dalam bentuk perserikatan politik, malah dalam usaha-usaha bantuan kemanusiaan.

“Kita hayati falsafah; ‘Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah’. Masing-masing dengan caranya sendiri membantu sekadar yang termampu.

“Kami dari PAS Pusat mengucapkan berbanyak terima kasih, terutamanya kepada rakan-rakan parti Pakatan Rakyat dan NGO yang datang dari seluruh negara bertungkus-lumus membantu, di Kuala Krai dan negeri-negeri lain,” kata Mohamad.

Semalam, kerajaan Pulau Pinang menyampaikan sumbangan pelbagai barangan keperluan untuk mangsa banjir termasuk makanan, minuman, khemah, dapur memasak, pakaian dan peralatan sekolah yang dimuatkan ke dalam dua buah kontena.

Dalam suasana mesra, para pemimpin Pakatan turut bergotong-royong membantu menurunkan ratusan kotak berisi barangan keperluan.

Kehadiran mereka seolah dihidu masyarakat setempat, apabila ada di kalangan mereka yang menunggu seawal 7 pagi untuk turut sama membantu memindahkan pelbagai barangan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli berkata, sumbangan dalam bentuk wang ringgit, barangan keperluan dan bantuan kerja sukarela menandakan keprihatinan diantara kerajaan negeri Pakatan.

“Semoga hubungan baik antara kerajaan-kerajaan negeri akan lebih mesra.

“Kita juga berharap agar suasana di Kuala Krai segera pulih,” kata Dr Hatta yang juga AJK PAS Pusat dalam ucapan ringkas. – Roketkini.com