Berita

Gerakan Progresif UM tolak pekeliling pentadbiran universiti

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Pekeliling Universiti Malaya yang melarang mahasiswa dan kakitangannya dari menyertai politik adalah berasaskan akta yang tidak lagi diguna pakai dan mengelirukan.

Setiausaha Agung Progresif UM Vince Tan berkata dalam satu kenyataannya mengatakan pekeliling itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Larangan itu bercanggah dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan persekutuan tentang hak berpersatuan dan Artikel 10(1)(a) mengenai kebebasan berpendapat dan berucap.

“Kami membantah pekeliling dikeluarkan Pendaftar Universiti Malaya Yusoff Mus (kerana) ia bukan perihal ‘politik’ tetapi lebih betul ‘penyertaan dalam demokrasi,” kata Vince.

Menurutnya pentadbiran Universiti Malaya memetik Undang-undang 20, Bahagian II, Jadual Kedua Kanun Badan-Badan (Disiplin dan Surcaj) Akta 2000 sebagai ‘ingatan mesra’ kepada mahasiswa dan kakitangan UM.

“Pihak Universiti Malaya digesa meneliti undang-undang terbaru, dan jangan guna undang-undang lapuk terhadap mahasiswa dan kakitangan,” tambah pelajar undang-undang tersebut.

Beliau turut merujuk kes UKM4 yang menjadi kepada perubahan undang-undang dan syarat larangan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 10.

Dalam kes di bawah Seksyen 15, Akta Universiti 1971 itu, Mahkamah Rayuan mendapati hukuman keatas UKM4 bercanggah dengan Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Adakah akta dalam pekeliling UM itu ingin mencabar asas yang sama dalam kes UKM4?

“Jika ya, undang-undang itu juga akan ditakrif sebagai bercanggah dengan perlembagaan,” ujar Vince.

Justeru itu, beliau menggesa UM mengalu-alukan penyertaan mahasiswa dan ahli akademik dalam politik dan menganggapnya sebagai satu demokrasi sihat.

Tambahnya, UM wajar diperlihatkan sebagai institusi pengupayan mahasiswa dan kakitangannya dalam pembinaan negara.

“Sepatutnya UM berbangga. Ia tanda kematangan kerana menunjukkan kebolehan menghasilkan pemimpin berkualiti dan berperanan penting kepada negara.

“Budaya menakut-nakutkan mahasiswa dan kakitangan mesti dihentikan,” ujarnya. – Roketkini.com