Berita

Kerajaan harus nilai semula status keluasan hutan pengeluaran

IPOH, 11 JAN: Walaupun Malaysia masih mengekalkan 18.48 juta hektar hutan, namun ia masih diancam jenayah pembalakan, kata Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar.

Ujarnya, kerajaan perlu menilai semula keluasan Hutan Pengeluaran.kerana banjir besar yang melanda beberapa negeri baru-baru ini juga berpunca daripada masalah penebangan keterlaluan.

Menurut Sivakumar, Malaysia mengekalkan 56.4 peratus hutan bersamaan 18.48 juta hektar keluasan, namun 72 peratus daripadanya dikategori sebagai Hutan Pengeluaran, manakala 27 peratus sahaja sebagai Hutan Simpan.

“Jumlah Hutan Simpan yang mempunyai larangan pembalakan jauh lebih kecil dari jumlah 13.42 juta hektar Hutan Pengeluaran yang menjadi sasaran golongan pembalak dan pengusaha kayu besar-besaran.

“13.42 juta hektar di bawah kategori ini adalah terlalu besar dan boleh membahayakan negara jika aktiviti penebangan berleluasa berlaku.

“Kerajaan harus menilai semula status keluasan kawasan hutan yang dikategorikan sebagai Hutan Pengeluaran,” kata Sivakumar.

Tambahnya, bencana alam yang berlaku adalah angkara manusia sendiri atas nama pembangunan.

“Ini semua adalah sikap tamak haloba manusia,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau menggesa Kerajaan Pusat dan negeri bertindak terhadap pihak tidak bertanggungjawab mengondgolkan hutan di lokasi terbabit.

Selain usaha pembendungan aktiviti pembalakan haram kata Sivakumar, kerajaan perlu melaksanakan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan dengan lebih cekap dan berkesan.

“Usaha penghutanan semula harus ditingkatkan disamping mewartakan lebih banyak kawasan hutan tadahan air.

“Jika usaha-usaha pengawalan dan penguatkuasaan tidak diambil perhatian segera, Malaysia akan terdedah kepada bencana lebih kritikal pada masa hadapan,” tambah Timbalan Pengerusi DAP Perak itu. – Roketkini.com