Berita

Peningkatan aktiviti keganasan di Malaysia wajar jadi perhatian Hishammuddin

GELANG PATAH, 11 JAN: Kedudukan Malaysia di tangga 48 Indeks Keganasan Global menunjukkan parahnya polarisasi agama dan kaum di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan mengingatkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar tidak memejamkan mata terhadap aktiviti keganasan di negara ini.

Hishammuddin sebelum ini berkata, serangan pengganas di Paris yang mengorbankan 12 orang mungkin boleh berlaku di Malaysia dan kawalan keselamatan khususnya di kawasan persisiran pantai Sabah perlu ditingkatkan.

“Malangnya, Menteri Pertahanan itu hanya melihat aspek keselamatan, persediaan dan aset, namun tidak melihat mengapa Malaysia semakin hari menyaksikan peningkatan ancaman keganasan baik di luar atau dalam negara.

“Buktinya jelas bila ada rakyat Malaysia menyertai kempen Islamic State (ISIS) walaupun terkenal dengan pembunuhan massa.” kata Kit Siang.

Laporan dikeluarkan Institute of Economics and Peace 18 November lalu, menunjukkan Malaysia di kedudukan ke-48 daripada 162 negara, melonjak 42 tangga daripada kedudukan ke-91 pada 2012.

Kata Kit Siang indeks tersebut sepatutnya menyedarkan Hishammuddin bahawa keamanan, keharmonian serta perpaduan terancam jika tiada usaha menyiasat retorik dan politik kebencian, tidak toleransi dan ekstremisme.

Malah kedudukan Malaysia telah mengatasi Arab Saudi, Uganda, Belarus, Perancis, Chile, Itali, Kazakhstan, Tajikistan, Maghribi,, Jordan, Switzerland, Zimbabwe, Sweden, Jerman, Kanada dan Serbia.

Indeks Keganasan Global 2014 itu juga menyenaraikan 124 negara-negara yang tiada kesan keganasan. Termasuk darinya adalah Qatar, Korea Selatan, Turkmenistan, Vietnam, Finland, Gambia, Ghana, Malawi, dan Mauritius. Pada 2012 ada 43 negara berada dalam senarai itu.

“Apa masalahnya Malaysia yang selalu berbangga sebagai model perpaduan, keharmonian kaum dan agama sudah jadi begini? soal Kit Siang.

Tambahnya, di bawah pentadbiran lima Perdana Menteri semenjak 1957 hingga 2009, tidak ada potensi serangan keganasan seperti yang berlaku di Paris.

Namun, di bawah pentadbiran Najib kemungkinannya wujud, malah kelompok ekstremis diberi peluang menjalankan politik retorik, kebencian berleluasa.

“Sudah tiba masanya seluruh warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama, negeri, jantina, umur dan kecenderungan politik berdiri di atas sikap moderat.

“Politik damai perlu menggantikan politik yang menghancurkan,” katanya lagi.- Roketkini.com.