KUALA LUMPUR, 12 JAN: Jika 1MDB adalah ‘peminjam bertanggungjawab’, syarikat itu tidak mungkin memiliki hutang terkumpul melebihi RM42 bilion, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Utara Tony Pua.
Kata Tony, kenyataan Pengarah Eksekutif (CE0) 1MDB yang baru Arul Kandasamy bahawa 1MDB adalah ‘peminjam bertanggungjawab’ sama sekali tidak berasas.
“Memang benar 1MDB tidak pernah gagal dalam pinjamannya, tapi ia tidak bermakna mereka tidak mempunyai masalah membayar hutang.
“Hakikatnya, 1MDB telah terlepas dua tarikh akhir pembayaran balik bagi hutang RM2 bilion pada bulan November dan Disember 2014.
“Pinjaman RM2 bilion itu sendiri sebahagian daripada penyusunan dan penjadualan semula hutang yang tidak dilunaskan pada November 2013,” katanya menjawab kenyataan Arul.
Pada 6 Januari lalu, Arul dalam satu wawancara bersama Bloomberg mendakwa 1MDB merupakan peminjam bertanggungjawab walaupun terdapat laporan menyatakan syarikat itu gagal melangsaikan hutang pinjaman berjumlah RM2 bilion bulan lalu.
Kata Arul, selagi sektor perbankan dan kredit saling berkait antara satu sama lain, selagi itulah 1MDB merupakan peminjam yang bertanggungjawab dan tidak pernah gagal.
Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP menegaskan, Arul harus sedar bahawa pada 2010, 1MDB meminjamkan RM4.3 bilion kepada Petrosaudi International dan meminjam lebih banyak untuk memberi pinjaman tambahan kepada firma Arab tersebut.
“Bagaimana pinjaman kepada Petrosaudi yang ditubuhkan pada 2005 oleh Tarek Essam Ahmad Obaid ini boleh dikatakan ‘bertanggungjawab’?” soalnya
Malah, 1MDB mengingkari janji terhadap firma audit Deloite Malaysia untuk membayar semula hutang RM4.07 bilion yang sepatutnya diselesaikan pada November 2014.
“Walaupun pinjaman ini ditebus sepenuhnya pada 2013, tapi wang tersebut dilaburkan secara kontroversi di Kepulauan Cayman.
‘Sehingga akhir November tahun lalu, (tarikh pembayaran) wang sebanyak RM4.07 bilion masih belum dikembalikan,” kata Tony
Tony berkata, Arul tidak bertanggungjawab sepenuhnya atas keadaan yang menimpa 1MDB, namun dia juga tidak seharusnya berpura-pura seolah-olah tidak ada apa-apa masalah yang berlaku.
“Jika dia tidak mengakui kesilapan yang dilakukan sehingga kini, dia tak mungkin dapat memulihkan masalah yang membelenggu 1MDB,” ujar Tony -Roketkini.com