Rencana

Gerakan Batu Sumpah kembalikan sejarah, ingatan dan hak Sabah

Gerakan Batu Sumpah mencipta revolusi aman di Sabah dengan tiga objektif untuk mengembalikan semula sejarah, ingatan dan hak rakyat Sabah menuntut semula hak kewarganegaraan – disemai sejarah dan keyakinan terhadap masa akan datang

Pelancaran Batu Sumpah ketiga di Moyog pada hari ini – dengan keagungan dua batu sumpah berkembar, Batu Sumpah Keningau yang diukir dengan tiga komitmen terhadap ‘Ugama Bebas Dalam Sabah’, ‘Tanah Tanah dalam Sabah dikuasai oleh Kerajaan’ dan ‘Adat istiadat anak rakyat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh Kerajaan’ menandakan revolusi aman di Sabah untuk mengubah minda masyarakat Sabah dengan tiga objektif untuk mengembalikan semula sejarah, ingatan dan hak rakyat Sabah untuk menuntut semula hak kewarganegaraan – disemai sejarah dan keyakinan terhadap masa akan datang.

Kita harus sentiasa ingat kepada kata-kata penulis Czech yang masyhur, Milan Kundera: ‘Perjuangan Manusia Melawan Kekuasaan Adalah Perjuangan Melawan Lupa’ yang menjadi raison d’etre pergerakan Batu Sumpah ini.

Gerakan Batu Sumpah, untuk membina replika Batu Sumpah Keningau di serata negeri Sabah, bukanlah monopoli parti DAP – ia melampaui politik kepartian kerana ia melibatkan tradisi dan budaya seluruh rakyat Sabah sebagai peringatan terhadap jaminan bersejarah diberikan kepada rakyat pedalaman Sabah mengenai tiga hak mereka sewaktu penubuhan Malaysia pada tahun 1963 mengenai agama, tanah dan adat resam.

Gerakan Batu Sumpah sewajarnya mendapat sokongan seluruh rakyat Sabah, tanpa mengira garis politik, kaum dan daerah – pemimpin-pemimpin parti Barisan Nasional juga dialu-alukan menyertai pergerakan ini.

Malah, sekiranya presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersedia menyokong pergerakan Batu Sumpah, dan sekiranya dimaklumkan lebih awal, saya turut bersedia hadir di mana-mana majlis anjuran PBS diketuainya untuk mendirikan satu lagi replika Batu Sumpah Keningau di Sabah.

Tujuh bulan sebelum pilihanraya umum ke-13 pada bulan Mei 2013, saya telah bercakap panjang lebar semasa membahas Belanjawan 2013 di Parlimen pada 4 Oktober 2012 mengenai Batu Sumpah Keningau dan menyeru semua Ahli Parlimen, tidak kira Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, sama ada di Sabah, Sarawak atau di Semenanjung, untuk menyokong Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat sama ada harapan dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak sewaktu penubuhan Malaysia dipenuhi atau dikhianati dalam masa lima dekad.

Walaupun seruan saya untuk menubuhkan RCI yang berakar daripada Batu Sumpah Keningau tidak dihiraukan pada Oktober 2012, ia terus menjadi isu yang hidup dan menjadi aspirasi dan tumpuan masyarakat Sabah.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing di Sabah (RCIIIS) telah mengemukakan semula isu ini, kerana tidak syak lagi, ancaman terbesar terhadap usaha memenuhi tiga komitmen yang terpahat di Batu Sumpah Keningau tidak lain tidak bukan adalah mimpi ngeri 40 tahun pendatang asing di Sabah, yang bukan sahaja telah mengubah demografi politik di negeri itu (punca PBS digulingkan sebagai parti dominan di Sabah dan Joseph Pairin sebagai Ketua Menteri Sabah) juga mengubah secara drastik situasi sosio-ekonomi dan keselamatan di Sabah.

Saya ingin berterima kasih kepada Jannie Lasimbang, Pengarah Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) dan juga koordinator bersama BERSIH Sabah kerana hadir dan memberikan saya senaskhah penerbitan JOAS “Orang Asal – A Photographic Introduction to the First Peoples of Malaysia”.

Seperti yang tercatat di buku tersebut, Orang Asal adalah istilah kolektif bagi penduduk asal Malaysia. Mereka adalah keturunan peneroka Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebelum tertubuhnya kesultanan Melayu dan kedatangan penjajah.

Apa yang menarik minat saya ialah rujukan buku tersebut kepada Sabah di mana ia berkata bahawa di Sabah, Orang Asal disebut sebagai Anak Negeri. Ada sekurang-kurangnya 72 etnik dan sub-etnik Anak Negeri di Sabah, dengan kumpulan utama terdiri daripada Dusun, Kadazan, Murut, Rungus dan Bajau. Orang Asal lain di Sabah termasuklah Bisaya, Brunei, Cagayan, Gana, Idahan, Iranun, Kalabakan, Kedayan, Kimaragang, Kwijau, Lotud, Lun Dayo, Makiang, Begahak, Minokok, Nulu, Paitan, Romanao, Serudong, Sungai, Tidung dan Tindal.

Pada tahun 2010 katanya, bilangan mereka melebihi 1,270,979 iaitu 40 peratus populasi negeri seramai 3.1 juta. Satu dekad sebelum, bilangan mereka membentuk 75 peratus daripada populasi negeri.

Penurunan drastik bilangan Orang Asal di Sabah daripada 75% kepada 40% adalah perubahan yang sangat luar biasa – semuanya kerana mimpi ngeri 40 tahun kebanjiran warga asing ke Sabah.

Inilah rasional di sebalik pelancaran Gerakan Batu Sumpah, dengan tiga objektif untuk mengembalikan sejarah, ingatan dan hak rakyat Sabah dan juga sebab kenapa ia berhak mendapat sokongan terus-menerus seluruh rakyat Sabah.

Ucapan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah di majlis pembukaan Batu Sumpah ketiga – batu sumpah berkembar – di Moyog, Sabah pada hari Ahad 11 Januari 2015.