Berita

Shafee kata polis buat ‘silap’, KPN diam sahaja?

PUCHONG, 12 JAN: Sikap berdiam diri Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berhubung kenyataan Tan Sri Shafee Abdullah bahawa polis tersalah lapor mengenai Raja Judi Paul Phua Wei Seng membuatkan kredibiliti institusi polis dipersoalkan.

“KPN kena berani dan menjelaskan adakah Tan Sri Shafee Abdullah betul ketika dia mengatakan bahawa polis memberi fakta salah tentang ‘raja judi kongsi gelap 14K’ Paul Phua Wei Seng kepada FBI.

“Dia (Khalid) tak boleh biarkan orang ramai membuat pelbagai tafsiran terhadap kenyataannya. Keadaan akan lebih buruk,” kata Gobind dalam satu kenyataan.

Tambah Gobind, urusan mengenai polis adalah perkara serius kerana menurutnya, Shafee tak layak bercakap mewakili institusi itu atau kerajaan.

“Shafee boleh bercakap mewakili kliennya, tetapi tentang polis, KPN yang kena bersuara mewakili institusi itu.

Peguam Paul, Tan Sri Shafee Abdullah menafikan dakwaan bahawa laporan polis berhubung anak guamnya merupakan laporan yang tepat.

Shafee dilaporkan berkata, beliau berpegang kepada apa yang dikatakan oleh Khalid dan tidak perlu berpegang kepada laporan pegawai polis rendah lain.

Namun, Khalid pula tidak mengesahkan dakwaan Shafee itu bahawa terdapat kesilapan di pihaknya.

“KPN kata dia tak mahu komen sebab boleh membahayakan prosiding mahkamah di Amerika,” ujar Gobind.

“Kenyataan KPN itu melucukan, apa yang kita minta hanyalah beritahu apa pendirian PDRM tentang Paul Phua dan Kongsi Gelap 14K. Ini tak beri kesan kepada kes

“Bila Shafee mengatakan polis sudah buat ‘silap’, KPN tak boleh diam. Dia perlu respon apakah benar polis membuat ‘silap’ atau tidak?” soal Gobind.

Tambah Gbbind, sekiranya polis tidak melakukan kesilapan, Khalid wajar mempertahankannya dan menegaskan bahawa Shafee dan Menteri Dalam Negeri Zahid Hamid yang melakukan kesilapan. – Roketkini.com