Berita

Ahli Parlimen BN kaut untung projek MyEG?

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kerajaan perlu menjelaskan tindakan menyumberluar (outsourcing) sistem permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada MyEG Service Bhd, syarikat diterajui Ahli Parlimen BN Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong berkata sistem baru itu bukan lebih menyusahkan para majikan.

Ujar Chin Tong, sistem e-kerajaan yang bertujuan memudahkan urusan majikan melakukan permohonan tidak sepatutnya disumberluarkan kepada syarikat persendirian untuk mengaut keuntungan.

“Jika bayaran RM38 dikenakan ke atas 2.4 juta pekerja asing di Malaysia, maka MyEG dijangka mendapat hasil sehingga lebih RM90 juta.

“Adakah membangunkan sistem permohonan menerusi talian ini memakan perbelanjaan sehingga RM90 juta?

“Saya mendesak Shamsul mengemukakan penjelasan adakah beliau mendapat hak istimewa untuk mendapat projek ini,” kata Chin Tong dalam kenyataannya hari ini.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim baru-baru mempersoalkan tindakan kerajaan dan menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjawab mengapa bayaran RM38 dikenakan atas perkhidmatan PLKS, sedangkan sebelumnya dikeluarkan tanpa bayaran.

Beliau turut mempersoalkan keputusan mengenakan bayaran lebih tinggi, iaitu RM58 kepada majikan yang membeli perlindungan insurans dari agen selain MyEG, sekaligus menggalakkan monopoli. – Roketkini.com