Berita

Skandal 1MDB: Dana RM5.55 bilion lesap?

KUALA LUMPUR, 13 JAN: 1MDB digesa mendedahkan ke mana perginya tambahan dana pinjaman RM5.55 bilion yang telah dilaburkan syarikat itu, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

Laporan kewangan suku pertama 1MDB 2014 menyatakan, RM5.55 bilion diletakkan dalam pelbagai portfolio pelaburan di bawah ‘jagaan institusi kewangan dengan penilaian kredit, sebagaimana dinilai agensi penarafan kredit antarabangsa’.

“Jumlah yang berasal dari pinjaman RM10 bilion diambil 1MDB pada Mac 2013 bertujuan untuk pelaburan usaha sama dengan kerajaan Abu Dhabi bagi membentuk Abu Dhabi Malaysia Investment Corporation (ADMIC).

“Namun dua tahun kemudiannya, ADMIC telah gagal, sementara bakinya AS1.44 bilion digunakan 1MDB untuk modal kerja dan pembayaran balik hutang.

“Persoalannya, di mana RM5.55 bilion telah dilaburkan? Adakah dana ini juga diuruskan oleh pengurus dana misteri yang tidak boleh dinamakan berdasarkan kewangan penuh rahsia Kepulausan Cayman?” soal Tony.

1MDB sebelum ini melabur RM7.6 bilion dalam ‘dana terasing’ pada 2013, dan wang itu kemudiannya didedahkan diuruskan pengurus dana di Kepulauan Cayman.

Sebanyak RM4.3 bilion dipulangkan kepada 1MDB menerusi arahan lembaga pengarah pada 1 Ogos tahun lalu, manakala baki RM4.07 bilion masih belum dijelaskan.

Syarikat milik kerajaan itu juga telah berjanji kepada firma audit mereka Deloitte Malaysia bahawa baki yang masih belum dijelaskan akan ditebus pada akhir November 2014, namun sehingga kini janji tersebut masih tidak ditunaikan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menggesa Pengarah Eksekutif (CEO) baru 1MDB Arul Kandasamy mengemukakan status pelaburan tambahan RM5.55 bilion itu termasuk nama dan lokasi pengurus dana serta kadar pulangan pelaburan.

“Memandangkan ADMIC tidak mungkin memulakan kerja, apakah 1MDB akan mempertimbangkan untuk menebus dana ini bagi membantu masalah pembayaran balik hutang yang dihadapi mereka?

“Rakyat Malaysia berhak tahu jika 1MDB menghadapi masalah besar,” kata Tony . – Roketkini.com