Berita

SPR ‘berhutang’, perlu bayar pampasan pada Mejar Zaidi

GELANG PATAH, 13 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah pihak yang harus membayar pampasan, kerugian kewangan, saraan hidup dan pencen kepada Mejar Zaidi Ahmad yang dipecat semalam.

Ketua Parlimen DAP LIm Kit Siang berkata, kecuaian SPR adalah punca kepada rentetan dakwaan yang akhirnya membawa kepada pemecatan Mejar Zaidi.

“Mejar Zaidi tak berbohong ketika mendedahkan bahawa dakwat kekal digunakan SPR sebenarnya tidak kekal bila dibasuh.

“Bagaimana seseorang boleh dipecat kerana melakukan perkara mulia, menegakkan kebenaran dan menyanjung tinggi nilai-nilai moral? kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Semalam, Mejar Zaidi dipecat oleh Mahkamah Tentera atas dakwaan memberi kenyataan media tanpa keizinan Majlis Angkatan Tentera (MAT).

Yang Dipertua Mahkamah Kolonel Saadon Hasnan dalam penghakimannya menyebut, hukuman dibuat dengan mengambil kira rekod cemerlang Zaidi selama 26 tahun satu hari yang tiada masalah disiplin.

Saadon berkata, pemecatan dibuat bukannya berhubung kegagalan dakwat kekal, tetapi oleh kerana Mejar Zaidi membuat kenyataan media tanpa kebenaran.

Tambah Kit Siang, SPR telah berhutang dengan Mejar Zaidi, kerana kegagalan SPR melaksana tanggungjawabnya menyediakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum ke-13 menjadi punca aduan.

“Ini bukan kesalahan Mejar Zaidi Ahmad, ia adalah kesalahan SPR sepenuhnya.

Dalam pada itu kata Kit Siang, Angkatan Tentera Malaysia wajar berasa malu kerana memecat Mejar Zaidi hanya kerana bercakap benar.

Pemecatan yang mengecewakan itu kata Kit Siang adalah hukuman terhadap ‘kebenaran’.

“Krisis moral meruncing di negara ini apabila dusta, tipu muslihat dan ketidakjujuran seolah-olah menjalar dalam kehidupan rakyat.

“Malaysia memerlukan lebih ramai Mejar Zaidi,” tegas Kit Siang.-Roketkini.com