Berita

2015 baru masuk minggu kedua, lagi kematian dalam tahanan

JOHOR BAHRU, 14 JAN: Tidak sampai setengah bulan tahun baru 2015, berlaku lagi kematian dalam tahanan dengan kes terbaru di Lokap Polis Ayer Molek, Johor Bahru.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dalam kenyataan hari ini berkata, seorang lelaki India berumur 31 tahun mati dalam tahanan polis pada 8 Januari 2015, kira-kira jam 8.10 malam,

Menurut Suaram, mangsa ditahan reman sejak 4 Januari hingga 18 Januari 2015 dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Pada 7 Januari 2015 mangsa mengadu sakit perut dan dihantar ke bahagian pesakit luar Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru

“Keesokkannya, sekali lagi mangsa mengadu sakit perut dan dihantar ke hospital tetapi apabila tiba, pihak paramedik Hospital Sultanah Aminah mengesahkan pesakit telah mati.

“Pihak koroner dan doktor pathologi dipanggil untuk pemeriksaan mayat di tempat kejadian dan menyatakan tiada kecederaan luaran dialami oleh mangsa,” kenyataan penyelaras Suaram Tarmizi Anuwar dipetik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Bahru Datuk Hasnan Hassan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut, namun Suaram memandang serius kejadian tersebut.

“Alasan kematian secara tiba-tiba bukan hanya sekali, tetapi kerap digunakan polis untuk menutup punca sebenar kematian,” ujarnya.

Suaram turut mendedahkan sebuah insiden serupa di Pengerang pada 4 November 2014, apabila seorang pemuda Syed Mohd Azlan mati dalam satu serbuan dan polis menggunakan alasan sama walaupun terdapat bukti kesan kecederaan teruk pada tubuh mangsa.

Bapa mangsa, Syed Mohamed Nur Ali, 67 berkata, kematian anaknya disebabkan hentakan benda tumpul di dada dan disahkan sendiri oleh pihak hospital.

Tegas Suaram, kematian dalam tahanan merupakan kejadian serius kerana melibatkan integriti pihak polis dan 14 kes kematian dalam tahanan direkodkan sepanjang 2014.

“Kekerasan dan kecederaan dalam apa jua bentuk tidak harus dibenarkan sementara tahanan berada di bawah jagaan polis.

Sejak tahun 2005 sehingga 2014, sebanyak 111 kes kematian dalam tahanan direkodkan Suaram dan sehingga hari ini kerajaan masih belum menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Ini menunjukkan pihak kerajaan tidak serius dalam membanteras salah guna kuasa pihak polis,” tegas Suaram. – Roketkini.com