Berita

Forum mengenang Tun Razak di KL malam ini, semua dijemput hadir

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Portal rasmi DAP Roketkini malam ini menganjurkan Forum ‘Tun Razak: Legasi Kesederhanaan’ bertempat di Mandarin Court Hotel, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur.

Forum yang bermula jam 8.30 malam ini bertepatan dengan ulang tahun ke 39 pemergian Perdana Menteri kedua negara yang akan akan mengupas keperibadian beliau membentuk dan mencorak rakyat Malaaysia yang berbilang kaum.

Berbeza dengan pentadbiran arwah ayahnya Tun Razak, pentadbiran Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menjanjikan harapan ke arah negara yang harmoni dan saling toleran, malah sikap ekstremisme semakin rancak dan meliar.

Walaupun pentadbiran Tun Razak tidak sempurna dan kurang demokratik, amalan hidup rakyat Malaysia sepanjang 1970-an jauh lebih toleran dan harmoni berbanding hari ini.

Pada masa itu tidak terdapat kumpulan-kumpulan ultra kaum atau pelampau agama yang secara terbuka memaksa amalan mereka ke atas kumpulan yang lain.

Antara ahli panel forum malam ini adalah bekas Setiausaha Politik Tun Razak yang juga bekas Timbalan Menteri Tan Sri Abdullah Ahmad, lebih popular dengan gelaran Dollah Kok Lanas.

Abdullah pernah bekerja dibawah Tun Razak selama 14 tahun dari 1962 hingga 1976 sebagai Pegawai Khas, dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri pertama di Jabatan Perdana Menteri (Ogos 1974-1976) selepas menang di Parlimen Kok Lanas.

Panelis lain adalah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, pengarang portal The Malaysian Insider Jahabar Sadiq dan forum akan dimudahcara oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

Forum juga boleh diikuti secara langsung melalui siaran Ubah TV. – Roketkini.com