Berita

“Apakah kenyataan Mashitah kurang serius dari Eric?

GEORGE TOWN. 15 JAN: Ketua Polis Negara (KPN) Tan Seri Khalid Abu Bakar mengamalkan pendakwaan terpilih keatas bekas Timbalan Menteri Datuk Mashitah Ibrahim berbanding pengasas NGO Lawyers for Liberty, Eric Paulsen.

Ini kerana kenyataan Mashitah dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu berbaur hasutan apabila mengatakan komuniti Cina membakar Al-Quran di Kedah.

“Dia (KPN) harus tangani semua kes hasutan dengan saksama. Jika beliau boleh tangkap aktivis Eric Paulsen, kenapa tak tangkap Mashitah? kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

“Adakah apa yang dikatakan Mashitah kurang serius berbanding kenyataan Eric dalam twitternya? soalnya.

Mashitah disiasat di bawah kesalahan lebih ringan iaitu Seksyen 505(b) yang hanya membawa hukuman dusa tahun penjara atau denda.

“Eric Paulsen pula ditangkap di bawah Akta Hasutan membawa hukuman tiga tahun penjara dan denda RM 5000

“Di bawah akta itu, seseorang boleh ditangkap di bawah Akta Hasutan, tetapi tidak di bawah Seksyen 505 (b).

“Saya minta KPN beri penjelasan kenapa gagal tahan Mashitah atas penipuan jahat beliau ketika Perhimpunan Agung UMNO bahawa komuniti Cina di Kedah membakar Al-Quran dalam satu ritual agama,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Dalam kes serupa, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali turut bebas tanpa dakwaan apabila mengugut membakar Bible dengan alasan Peguam Negara telah memberi penjelasan.

“Kesaksamaan dan keadilan sekali lagi dinodai kerana KPN gagal tahan Mashitah Ibrahim bawah akta hasutan.

“Mengapa wujud dwi-standard antara Eric Paulsen dan Mashitah?

“Ini jelas membuktikan KPN mengamalkan siasatan terpilih dalam menyiasat pemimpin UMNO dan dan mereka yang melawan parti itu,” ujarnya.

Khalid turut dilihat cuba mencari alasan mengelak tekanan media dan pembangkang atas tangkapan berat sebelah terhadap aktivis hak asasi itu.

“Topeng BN dan KPN telah terlucut, kerana amal pendakwaan dan siasatan terpilih apabila melibatkan antara yang sokong BN dan mereka yang menentang BN.

“Apakah BN cuba alih perhatian dari kegagalan kerajaan Persekutuan untuk menangani krisis bencana dalam negara dan skandal 1MDB?” soalnya. – Roketkini.com