Berita

Kalau Tun Razak masih hidup, pasti beliau sokong desakan 25 tokoh Melayu

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Sekiranya Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak masih hidup, pasti beliau menyokong tindakan 25 tokoh Melayu menggesa kerajaan menangani fanatik dan ekstremisme di negara ini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Tun Razak pasti kesal dengan anaknya, Datuk Seri Najib Razak yang tidak mengotakan janji untuk mengangkat dasar kesderhanaan seperti diikrarkan melalui Gerakan Moderat Global (GMM).

“Inilah sebabnya surat 25 tokoh Melayu moderat tempohari agar kepimpinan negara memberi komitmen kepada kesederhanaan dan menentang sikap tidak toleran penting bagi menentang lambakan politik perkauman serta ekstremis dalam negara.

“Saya rasa Tun Razak akan menerima cadangan-cadangan ini dengan lebih positif.

“Saya percaya jika Tun Razak masih hidup, beliau akan memberikan sokongan kepada 25 tokoh Melayu dan memandang serius serta tidak ‘memekakkan telinga’ berhubung surat terbuka terbabit,” katanya dalam forum Memperingati Tun Razak, semalam.

Dalam pada itu kata Kit Siang, masalah kemiskinan di negara ini masih belum selesai dan tidak lagi harus dipandang mengikut garis perkauman tapi berdasarkan jurang pendapatan antara miskin-kaya

Namun, malangnya di bawah pemerintahan UMNO selepas tiga Perdana Menteri terawal masalah kemiskinan hanya dipandang sebagai agenda ‘bumiputera’ semata-mata.

“Semasa perbahasan Rancangan Malaysia Kedua di Parlimen pada Julai 1971, saya mengisytiharkan DAP menyokong objektif utama Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai perpaduan dan sebagai serampang dua mata membasmi kemiskinan serta menyusun masyarakat demi menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

“Malangnya apa yang berlaku kini DEB telah menjadi sumber utama yang disalahguna untuk memperkayakan UMNO atas nama meningkatkan taraf bumiputera,” kata Kit Siang.

Menurutnya, semasa pentadbiran Tun Razak dan dua Perdana Menteri terawal, asas Malaysia sebagai negara demokratik, berbilang kaum, sekular dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tidak pernah dipersoalkan.

Namun kini keadaan menjadi sebaliknya, apatah lagi bercambahnya kumpulan ekstremis baik dari segi agama atau kaum.

“Hasilnya ‘pluralisme’ dan ‘liberalisme’ yang sebenarnya harus diterjemahkan kepada masyarakat berbilang kaum telah menjadi perkataan kotor,” ujar Kit Siang.

Malah katanya, Rukun Negara yang digubal Majlis Perundingan Negara (MPN) dipengerusikan Tun Razak sendiri selepas 13 Mei adalah mukadimah kepada masyarakat adil, demokratik, liberal dan progresif.

Justeru itu, Kit Siang menggesa Najib mengadakan mesyuarat Parlimen antaranya bagi membentangkan belanjawan baru dan Pelan Keselamatan Ekonomi Kebangsaan dan Pelan Penyatuan Nasional demi menyelamatkan negara dari dunia fanatik. – Roketkini.com