Rencana

Mitos gerakan mahasiswa dan kuda tunggangan parti

Era abad ke-21, mendengar kisah-kisah kegemilangan gerakan mahasiswa zaman 60 sehingga 70-an bagaikan mendengar kisah sang pari-pari atau “fairy tales” – indah, namun mungkinkah sesuai dengan realiti kini?

Melihat kembali sejarah kegemilangan mahasiswa kita bagaikan bermimpi, bagaimana mereka ini punya satu kuasa autonomi sendiri, mengerjakannya dengan keringat, atas dasar kesedaran dan keinginan sendiri dan semangat mereka bukanlah bermusim. Jauh panggang daripada api jika dibandingkan dengan mahasiswa hari ini, dengan kita sendiri.

Selain nama Anwar Ibrahim, nama-nama besar yang tidak akan dilupakan jika kita berbicara tentang Gerakan Mahasiswa termasuklah Syed Hamid Ali, bekas Setiausaha Umum Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), dan Dr Khong Kim Hong, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) zaman 60’an yang gerakan mereka dilihat sebagai gerakan kiri pada ketika itu dalam gerakan mahasiswa dan juga kemasyarakatan.

PMUM mencipta sejarah tersendiri dalam gerakan mahasiswa. Ia seakan membentuk kerajaan mahasiswa apabila mereka mampu menguruskan pelbagai hal-ehwal serta kebajikan para mahasiswa, bas, dan kantin milik mereka dan diuruskan sepenuhnya oleh mereka. Tidak hanya itu, mereka mampu juga mendengar suara kakitangan universiti dan isu berbangkit dibawa oleh mereka sehingga menjadi gerakan yang disokong sehingga ke akar umbi mahupun oleh kakitangan universiti yang berkhidmat untuk kerajaan pemerintah. Apabila muncul isu nasional dan politik tanah air di luar kampus, mereka mampu pula menjadi ‘jurubicara rakyat’, antaranya tatkala mereka bersolidariti untuk penduduk kampung dalam kes Hamid Tuah yang diambil tanahnya oleh kerajaan. Peristiwa Baling yang masih segar di ingatan kita juga dibicarakan oleh mahasiswa, iaitu PBMUM pada waktu itu.

Melihat gerakan mahasiswa di universiti kini, dua pertembungan yang berlaku iaitu pro-Mahasiswa dan pro-Aspirasi. Pro-Mahasiswa sentiasa dilihat melawan universiti ataupun lebih tepat lagi kumpulan mahasiswa yang dilihat sebagai lambang kepartian dalam universiti yang bermula dengan usrah daripada kumpulan Islamis ataupun Jemaah Islam Kampus (JIK) sebagai proses pengkaderan ahli seterusnya gerak kerja dalam Pilihanraya Kampus Universiti. Namun malangnya, gerakan yang menggunapakai label Pro-Mahasiswa yang sering dilihat memperjuangkan kebebasan akademik, kebebasan berpartisipasi dan berpolitik yang disekat oleh AUKU sejak turun-temurun ini hanya terhad kepada kebebasan menyertai parti politik dan berdiri di atas atas lambang parti yang ‘menjaga’ mereka semata-mata dan terhenti setakat itu sahaja. Rakan- rakan mahasiswa dibeza-bezakan sama ada mereka Jemaah atau bukan.
Perjuangan mahasiswa untuk membawa suara mereka ke peringkat nasional dalam isu-isu kebobrokan pentadbiran mahupun isu-isu sejagat tidak dipandang sehebat para anggota Jemaah yang sudah melakukan baiah.

Malang apakah ini? Pemisahan mengikut Jemaah dalam kalangan pelajar hanya memecah-belahkan solidariti sesama mahasiswa. Akhirnya mahasiswa berbalahan sesama sendiri hanya untuk memenangkan tokoh parti politik masing-masing sehingga hilang identiti perjuangan serta gerakan mahasiswa itu sendiri.

Penting bagi gerakan mahasiswa untuk tidak berpihak kepada mana-mana parti atau sekurangnya mengenepikan lambang bendera dalam perjuangan sesama mereka.

Tidak dapat dinafikan faktor perkembangan ataupun persekitaran mempengaruhi kecenderungan kepada mana-mana parti namun penting untuk gerakan mahasiswa menjadikan semangat kemahasiswaan sebagai pegangan dan bukan berkiblatkan parti politik. Gerakan mahasiswa yang begitu besar pengaruhnya tidak harus dijadikan medan pengkaderan parti politik kerana mahasiswa haruslah berdiri bergaya di atas kaki sendiri sebagai kuasa ketiga kepada kerajaan mahupun pembangkang.

Jika mahasiswa membiarkan parti politik sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk menjadikan mahasiswa sebagai kuda tunggangan untuk kepentingan parti mereka, jadilah perjuangan mahasiswa bukan lagi atas kesedaran diri dan juga satu proses mencari identiti diri, dan mahasiswa akan hanya menjadi budak kepada parti politik semata-mata.

Tidak berapa lama dulu berlaku perselisihan di KUIN antara dua front mahasiswa, iaitu Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) dan juga Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), berkenaan isu tuntutan semula terhadap bangunan tahfiz yang telah dirampas untuk pembangunan Sekolah Insan Bestari. GAMIS sebagai kumpulan mahasiswa yang secara tradisinya bekerja rapat dengan parti yang membentuk kerajaan negeri pada waktu itu mengambil sikap untuk menurut arahan, manakala SMM yang salah seorangnya terdiri daripada Saudara Aiman Razab mengambil tindakan lebih tegas untuk bersemuka dengan Menteri Besar pada ketika itu. Di situlah titik retak hubungan GAMIS dan SMM apabila boikot mula dilakukan kerana SMM dilihat bertindak di luar keinginan organisasi ‘di atas mereka’. Itu baru satu, ada banyak lagi jika mahu disebutkan satu persatu.

Mahasiswa harus bersatu di atas nama ‘student power’ untuk meruntuhkan tembok keangkuhan pentadbiran yang membuli dan juga supaya gagasan mereka sebagai kuasa ketiga didengari di peringkat nasional dan juga sebagai satu cara intelektualisme mereka dihargai dalam pembangunan sesebuah negara – gagasan yang sepatutnya dibincangkan secara akademik dan substantif, bukan hanya sentimen dan emosi.

Apabila berbicara tentang kebebasan akademik, mahasiswa sekarang hanya tahu siapa pemimpin parti politik yang boleh dan tidak boleh dibawa masuk namun bukannya tentang sistem Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang tidak relevan mahupun silibus mata pelajaran yang sudah ketinggalan. Masalah terbesar apabila setiap perkara penting sebegini hanya dilihat melalui kaca mata politik kekuasaan dan bukannya penambahbaikan yang holistik. Mahasiswa sendiri begitu selektif dalam bersikap dan ini tidak membawa keuntungan kepada mahasiswa berbanding kepada ‘tuan yang memiliki mereka.’

Mahasiswa tidak perlu obses dan seharusnya tidak perlu untuk turut serta dalam kemelut masalah dalaman parti politik. Mahasiswa hanya mahu suara mereka didengari dengan autonomi tersendiri yang harus mereka miliki. Mahasiswa tidak mahu ditunggang parti atau mereka yang menggunakan mahasiswa berhajat untuk mendapat tempat dalam parti. Mahasiswa mahu mereka dan parti sama-sama berdiri .

Semangat pelajar haruslah dihormati oleh semua tidak kira politikus, ahli akademik mahupun pak menteri. Kata Saidina Ali, jika mahu lihat masa depan sesebuah negara maka lihatlah pemudanya.

Sebaiknya gerakan mahasiswa mampu melahirkan generasi yang mempunyai idea dan pendirian, berdiri di atas kaki dan kemampuan sendiri serta ideologi baru.

Apa yang dimahukan adalah gerakan mahasiswa yang mampu untuk melahirkan pemimpin yang mempunyai ideologi baru dan aspirasi daripada perspektif dan pengalaman, serta mampu berfikir sendiri tanpa romantisme dan pengaruh mana- mana pihak. Ambil sahaja contoh terdekat bagaimana mahasiswa di Hong Kong seramai 13,000 orang mampu bersolidariti selama seminggu di Umbrella Revolution untuk menuntut demokrasi untuk lebih banyak wilayah di China atau juga Camila Vallejo yang mampu menghimpunkan 200,000 pelajar untuk menuntut pendidikan percuma di Chile.

Tidak dinafikan Jemaah Islam Kampus (JIK) melakukan tugas yang baik dalam tarbiah namun kurang relevan dalam siasah. Sudah tibanya masa untuk kita bincangkan bentuk gerakan mahasiswa zaman edan yang memenuhi keperluan zaman, tinggalkan kegagalan menjadi budak suruhan. Cabaran terutama kita adalah membebaskan minda tertawan dan sistem feudal yang membawa kita jauh hanya sejengkal.

Ayuh kita mula revolusikan pemikiran dan tindakan. Dalam satu perhimpunan di Universiti Malaya yang diadakan baru-baru ini, ketika rakan- rakan sibuk bersorak ‘hidup mahasiswa’ saya yang ketika itu turut berada dalam satu barisan tidak begitu teruja dan roh perjuangan tidak dapat dirasakan kerana bimbang apa yang dilakukan hanyalah ikut-ikutan bukanlah kerana kefahaman mahupun kesedaran.

Rumi berkata, “Yesterday I was clever, so I wanted to change the world. Today I am wise, so I am changing myself.’ – Roketkini.com

*Penulis adalah alumni Sekolah Demokrasi