Berita

Tolak ekstremisme pendorong kebencian, pupuk sikap hormat dan kesaksamaan

GEORGE TOWN, 15 JAN: Rakyat Malaysia perlu menolak ekstremisme yang menyebarkan dakyah kebencian, sikap tidak toleran dan keganasan. sebaliknya mempupuk sikap hormat-menghormati hak dan maruah saudara se-Malaysia.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam perutusan Hari Ponggal berkata, impian rakyat Malaysia adalah keadilan, demokrasi dan kemakmuran ekonomi, dan menghindar dari masalah yang berpunca dari rasuah, salah guna kuasa dan diskriminasi.

“Politik tidak sepatutnya berkisar tentang konfrontasi dan kerja mengasing-asingkan, tetapi seharusnya berkisar tentang kerjasama.

“Atas sebab ini, urustadbir yang baik memainkan peranan penting dengan melaksanakan dasar-dasar yang baik, yang menjanjikan hasil yang baik serta penyampaian yang memperbaiki kelangsungan hidup rakyat,” kata Guan Eng dalam kenyataannya hari ini.

Tambahnya, dalam isu politik pentadbiran, gerak kerja dan penghasilan idea kreatif yang mampu merakam imaginasi ke arah masa depan lebih cerah hanya boleh dilakukan tanpa politik kebencian.

“Masa depan akan terlepas dari BN dan UMNO, kerana ia menumpukan kepada usaha menakut-nakutkan kita dan membangkitkan kebencian yang mengurangkan nilai manusia dari kalangan warga minoriti.

“Politik kebencian ini bertujuan mengelak daripada membincangkan masalah lebih nyata seperti skandal 1MDB, atau aliran keluar wang haram mencecah RM1.4 trilion antara tahun 2003-2013,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, serangan pengganas kumpulan ekstremis yang mengeksploitasi nama baik Islam menimbulkan ketakutan kerana pengganas menyasarkan asas kejayaan barat, iaitu kebebasan dari rasa takut.

Tambahnya, bagi sesetengah orang kebebasan dilihat sebagai nilai asing dan ancaman kepada kuasa dan status kumpulan sedia ada, sedangkan nilai kebebasan sebenar membentuk masyarakat progresif dan makmur.

“Adakah kita mahukan sebuah masyarakat di mana ekstremisme demi mempertahankan kaum tidak dikira kesalahan, tetapi kesederhanaan demi mempertahankan keadilan tidak dilihat sebagai satu kemuliaan? kata Guan Eng. – Roketkini.com