Berita

Adakah kerajaan akan mohon Australia ekstradisi Sirul ke Malaysia?

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Adakah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi akan menulis kepada Australia untuk mengesahkan bahawa Sirul Azhar Umar telah disabit kesalahan membunuh, serta memohon untuk mengekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas itu pulang ke Malaysia?

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam satu kenyataan berkata, pihak berkuasa Australia perlu dimaklumkan bahawa pesalah jenayah yang telah dijatuhi hukuman mati itu kini berada di negara mereka.

Azilah Hadri

Azilah Hadri

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia mungkin membawa kes Sirul ke mahkamah Australia sekiranya negara itu enggan mengekstradisi pesalah itu ke Malaysia untuk menjalani hukuman gantung sampai mati.

Kata Wan Junaidi, hanya mahkamah mempunyai kuasa untuk memutus dan mengeluarkan arahan sama ada Sirul Azhar akan dihantar pulang atau sebaliknya.

Lip Eng turut menggesa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pihak berkuasa penjara memberi penjelasan tentang pesalah yang bagaimana yang menikmati keistimewaan untuk diselindung identiti oleh pihak berkuasa daripada orang ramai dan media.

Ini kerana wajah dua pembunuh ini dilindungi setiap kali muncul di mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung hampir sedekad.

“KPN mesti memberi jaminan bahawa dua gambar Azilah dan Sirul yang dikeluarkan Bukit Aman semalam bukannya diambil sepuluh tahun lalu, sewaktu kejadian pembunuhan kes itu,” ujar Lip Eng.

Sirul Azhar Umar

Sirul Azhar Umar

Wajah dua bekas pegawai polis yang disabitk kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, didedahkan kepada umum oleh ibu pejabat polis Bukit Aman.

Kata Lip Eng, orang ramai perlu tahu wajah semasa mereka dan boleh membantu pihak polis sekiranya Sirul menyelinap pulang ke Malaysia.

“Ini juga membolehkan rakyat Malaysia di Australia untuk membantu menyedarkan orang awam dan pihak berkuasa Australia tentang kewujudan seorang pembunuh di kejiranan mereka,” kata Lip Eng. – Roketkini.com