Berita

Pulau Pinang kaji tindakan undang-undang cabar pelaksanaan GST

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Kerajaan Pulau Pinang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Pusat melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) April nanti, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

“Pada mesyuarat Exco negeri lalu, kami memutuskan untuk berunding dengan peguam untuk mengkaji sama ada pelaksanaan GST boleh dicabar di mahkamah.

“GST tidak boleh dilaksanakan sekarang ini. Ia perlu ditangguhkan untuk memberi lebih banyak masa kepada rakyat Malaysia memahami serta menyesuaikan diri terhadap kesan negatif yang bakal terjadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, DAP akan lebih menggiatkan usaha membantu hala tuju negara dan kehidupan rakyat terutama akibat kegagalan Kerajaan BN yang dilihat semakin mengabaikan peranannya.

Jelasnya, perkara itu dipersetujui dalam pemukiman tahunan DAP di Subang Jaya yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin..

“DAP mengambil keputusan memberi tumpuan kepada beban ekonomi ke atas rakyat, kegagalan tadbir urus seperti berlaku dalam krisis banjir di Pantai Timur dan ancaman puak-puak pelampau, perkauman termasuk undang-undang yang menindas,” ujarnya.

Dalam pada itu Setiausaha Agung DAP itu turut menggesa kerajaan mengurangkan tarif elektrik berikutan penurunan petrol lebih 50 peratus dari AS105-110 kepada AS50 satu tong.

“Tuntutan sesetengah pihak dalam kerajaan agar sektor swasta mengurangkan harga berikutan penurunan petrol hanya boleh dilihat jujur, dipercayai dan profesional jika mengarahkan TNB supaya menurunkan tarif elektrik.

“Kegagalan TNB mengurangkan tarif elektrik akan menggugat usaha mereka untuk menurunkan harga barangan dan perkhidmatan oleh sektor swasta,” tegas Guan Eng. – Roketkini.com