Berita

Kementerian Pengangkutan tubuh LKPN, satu lagi harimau tak bertaring?

KLUANG, 19 JAN: Penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (LKPN) yang diumumkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai akan menjadi badan yang sia-sia, berdasarkan kepada rekod agensi-agensi kementerian itu.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, Kementerian Pengangkutan gagal berfungsi meskipun wujud pelbagai badan termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Keselamatan Kerja Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Difahmkan, penubuhan LKPN susulan 51 pelan tindakan penambahbaikan pengangkutan bas dicadangkan panel bebas Laporan Kemalangan Genting(LKG) dua tahun lepas.

“Sebelum bentuk LKPN, sepatutnya Kementerian Pengangkutan wajib bentangkan LKG dulu.

“Selagi JPJ, Genting Malaysia dan Puspakom belum menunaikan tanggungjawab terhadap laporan itu, mereka mesti ditegur dan dihukum.

“Jika tidak, penubuhan LKPN tetap tidak dapat meyakinkan rakyat,” kata Chin Tong dalam kenyataannya hari ini.

Chin Tong turut mempersoalkan keberkesanan dan kebebasan LKPN., dan mencadangkan badan tu diletakkan di bawah pengawasan Parlimen, bukannya Kabinet atau Kementerian Pengangkutan.

“Jika LKPN berada di bawah kementerian atau kabinet, tidak akan ada ketelusan dan proses timbang tara.

“Sekiranya LKPN hanya membentangkan kepada pihak yang menubuhkannya, ia akan melemahkan kebebasan badan itu,” ujar Chin Tong.

Tambahnya penubuhan badan baru itu tidak akan benar-benar menyelesaikan masalah.

“Sepatutnya mencari penyelesaian yang diutamakan. Tak guna tubuh badan baru, jika agensi-agensi ini pun tak boleh ambil tindakan terhadap cadangan LKG yang juga ditubuhkan oleh kementerian itu.

“Apakah penubuhan badan baru ini akan memberikan kelainan?” soal Chin Tong.

“LKPN tidak boleh menjadi satu lagi ‘harimau tak bertaring,” ujarnya.

Tegas Chin Tong, ketua agensi yang disebut dalam LKG seharusnya dihadapkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu, jika Liow serius mahu menubuhkan LKPN.

“Jelas sekali, Liow hanya pilih bahagian ‘selamat’ dari LKG tanpa menghiraukan bahagian terpenting yang memerlukan keazaman politik demi memastikan tiada lagi kemalangan teruk,” ujar Chin Tong. – Roketkini.com