Berita

Kes Guan Eng saman NGO, FMT tangguh ke 27 Feb

Lim Guan Eng bersama peguam dan ADUN Pulau Pinang di mahkamah pagi ini (Gambar: Buletin Mutiara)

GEORGE TOWN, 19 JAN: Kes saman Ketua Menteri, Lim Guan Eng ke atas penasihat NGO Citizens Awareness Chant Group (Chant), Dr Jimmy Lim Cheok Sim dan pemberita Free Malaysia Today (FMT), Athi Shankar ditangguh ke 27 Februari depan, menurut laporan Buletin Mutiara.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan berkata demikian pagi ini selepas pihak pembelaan dan pendakwaan menyoal balas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang juga plaintif.

Guan Eng diwakili oleh Datuk N Murali, manakala Jimmy Lim diwakili V Amareson bersama Buljit Singh, dan Athi Shankar diwakili Clement Lopez.

Perbicaraan berhubung penerbitan sebuah artikel berjudul, ‘Guan Eng has failed, says NGO’ yang disiarkan portal berita FMT pada 6 Disember lepas.

Artikel tersebut melaporkan, Jimmy antara lain menyebut, Guan Eng sebagai gagal, manakala pentadbiran kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun lepas didakwa gagal memulihara bangunan warisan di Pulau Pinang.

Pihak pembelaan pagi tadi turut mempersoalkan isu perobohan sebuah rumah lama di atas tanah adat dan kebudayaan dekat Pulau Tikus, demi membuktikan bahawa pentadbiran Guan Eng tidak memulihara bangunan warisan.

Bagaimanapun, Guan Eng menegaskan bahawa hanya George Town sahaja diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

“Sekurang-kurangnya pastikan dulu daripada saya, bukan dia (FMT) terus mengeluarkan laporan palsu itu,” ujar Guan Eng, sebelum sesi perbicaan tersebut ditangguhkan. – Roketkini.com