Berita

KPN perlu bertanggungjawab kematian P Chandran

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Ketua Polis Negara Tan Seri Khalid Abu Bakar perlu bertanggungjawab atas kematian P Chandran dalam tahanan di lokap IPD Dang Wangi pada September 2012.

Ketua Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo berkata, sebagai pemimpin badan polis, jelas Khalid gagal memastikan keselamatan tahanan.

“Terlalu ramai yang menjadi mangsa dan begitu ramai yang memperkatakan mengenainya (kematian dalam tahanan) dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” ujar Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong.

Gobind mengulas keputusan Koroner Mahkamah Tinggi Ahmad Bache minggu lalu yang mendapati bahawa pihak polis telah bertindak menyalahi undang-undang, cuai dan tidak berperikemanusiaan kepada P Chandran.

Menurut Gobind, koroner Ahmad Bache dalam keputusannya berkata, penelitian pada kamera litar tertutup (CCTV) mendapati P Chandran agak tidak bermaya selama hampir 12 jam.

Kematiannya yang tercatat dalam daftar kematian adalah darah tinggi (hypertension heart disease) dan mangsa tidak diberikan ubat-ubatan dan rawatan semasa dalam tahanan polis, yang menyebabkan kematiannya.

“Mungkin ada pengawasan lebih baik daripada sel polis dan petugas kaunter skrin CCTV,” kenyataan koroner Ahmad Bache dipetik.

Ujar Gobind apa yang berlaku membuktikan budaya ‘lepas tangan’ dan masalah sikap anggota dan institusi polis yang seolah-olah tidak mempunyai hati nurani untuk menguruskan tahanan secara berperikemanusiaan.

“Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri sepatutnya berasa malu,” kata Gobind.

Justeru itu, beliau mencadangkan undang-undang digubal untuk meletakkan kerajaan dan pegawai polis bertugas bertanggungjawab secara autmatik keatas setiap kecederaan atau kematian dalam tahanan.

“Sudah tentu mereka akan mengambil segala langkah wajar untuk memastikan keselamatan tahanan,” ujar Gobind. – Roketkini.com