Berita

MyEG, NERS Sdn Bhd kaut untung pendaftaran pekerja asing

KUALA LUMPUR, 20 JAN: DAP hari ini sekali lagi mempertikaikan tindakan kerajaan memberikan kontrak kepada MyEG bagi menguruskan pendaftaran pekerja asing dan pas lawatan kerja sedangkan ia sebelum ini telah diberikan untuk syarikat lain.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong berkata, sejak 1 Jun 2011 kerajaan telah memberikan kontrak berbilion ringgit selama 12 tahun kepada NERS Sdn Bhd dengan peranan yang sama.

“Sebelum ini saya telah membangkitkan tentang pelantikan NERS Sdn Bhd untuk menyediakan sistem penguatkuatsaan dan pendaftaran pekerja asing termasuk Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Parlimen.

“Persoalannya kini mengapa perlu mereka melantik MyEG sebagai ‘orang tengah’ untuk menguruskan pendaftaran pekerja asing apabila NERS Sdn Bhd telah pun dilantik dengan kontrak 12 tahun bagi melakukan perkara yang sama?

“Tidak ada syarikat yang boleh mengaut untung ratusan juta ringgit semata-mata dengan menjadi ‘orang tengah’,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Pada 5 Januari lalu, kerajaan telah mengumumkan pelantikan MyEG Services Sdn Bhd untuk melakukan pembaharuan dalam menguruskan pendaftaran pekerja asing.

Peranan MyEG bukan saja untuk memperbaharui permit tetapi menyusun, mengesahkan, mengekalkan, mengemaskini, menganalisa pangkalan data dan lainnya yang melibatkan pekerja asing.

Menurut Steven, dalam semakan Belanjawan 2015, kerajaan harus membayar RM100 juta kepada NERS Sdn Bhd , RM75 juta (Belanjawan 2014) dan RM105.3 juta (Belanjawan 2013).

Katanya, bagi setiap PLKS yang dikeluarkan, kerajaan juga perlu membayar RM50 kepada kedua-dua syarikat (NERS dan MyEG).

“Walaupun tidak disebut secara khusus, saya mengesyaki bahawa ia telah dimasukkan ke dalam ‘bayaran proses’ yang sepatutnya RM50 tapi kini telah meningkat kepada RM125 awal tahun ini.

“Majikan bukan saja perlu membayar RM125 bagi bayaran proses, tambahan RM38 pula perlu dibayar kepada MyEG sebagai ‘orang tengah’, ujarnya. -Roketkini.com