Rencana

“Najib seolah-olah tak nampak kegusaran YDPA Sultan Abdul Halim”

Amat tragis apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kabinetnya nampaknya langsung tidak memahami sentimen yang diluahkan Yang di Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, bahawa Baginda tidak pernah sebegini risau tentang hubungan kaum dan agama di negara ini sepanjang tempoh 57 tahun bertakhta sejak tahun 1958 – setahun selepas negara mencapai Kemerdekaan.

Tahun 2014 baru sahaja berakhir tiga minggu lalu dipenuhi bencana dan malapetaka seperti:

1) Dua nahas udara MH370 pada 8 Mac dan MH17 pada 17 Julai melibatkan sejumlah 537 anak kapal dan penumpang pelbagai warganegara berserta nahas udara ketiga dalam setahun, penerbangan Air Asia QZ8501 yang terhempas ke Laut Jawa dan mengorbankan 162 mangsa pada 28 Disember;

2) Bencana banjir paling buruk dalam sejarah pada hujung tahun, hampir sejuta mangsa banjir dengan suku juta mangsa dipindahkan, menyebabkan kemusnahan teruk di Manek Urai, Kampung Manjur dan Kampung Karangan di Kuala Krai, Kelantan dan mengorbankan 25 jiwa serta menyebabkan kerugian berbilion ringgit,

3) Skandal berbilion ringgit 1MDB yang kian berkembang menjadi ibu segala skandal kewangan di Malaysia,

4) Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap ‘ibu segala masalah di Sabah’, mimpi ngeri 40 tahun kemasukan warga asing di Sabah, yang ternyata merupakan sebuah kitaran tak berpenghujung,

5) Gambaran ekonomi yang begitu kelam, dengan kejatuhan harga minyak mentah paling teruk dalam masa enam tahun, merudum sehingga 60 peratus sejak pertengahan tahun lalu sehingga didagangkan di bawah USD50 satu tong, serta kejatuhan nilai ringgit paling buruk sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1997.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakonkan watak ‘Sang Pelawan’ dengan menidakkan seruan kepada kerajaan untuk bersedia menghadapi satu lagi krisis ekonomi dan kewangan, yang dibuat bukan sahaja oleh pakar-pakar ekonomi, tetapi juga bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apabila Najib menyatakan bahawa ekonomi Malaysia tidak dilanda krisis, beliau nampaknya cuba menjustifikasi peranannya sebagai ‘Perdana Menteri kaki ponteng’ dalam sejarah negara.

Adakah Najib akan menyatakan bahawa tidak ada asas bagi Yang di Pertuan Agong untuk merasa risau dengan hubungan kaum sejak menduduki takhta 57 tahun lalu atau untuk titah berikut daripada Sultan Abdul Halim:

“Beta telah bersemayam di takhta selama 57 tahun. Walaupun pelbagai peristiwa beta saksi sepanjang pemerintahan, beta tidak pernah berasa begini bimbang dengan hubungan antara kaum dan agama yang semakin rapuh”

Tindakan Najib pastinya merugikan negara jika terus menafikan keperluan untuk bersedia menghadapi satu lagi krisis ekonomi dalam negara, mahu pun hubungan antara kaum dan agama yang paling ‘rapuh’ dalam sejarah negara.

Kerunsingan tentang masa depan negara yang inilah yang mencetuskan Surat Terbuka oleh 25 Tokoh Melayu tempoh hari serta sokongan terhadapnya yang kian meningkat oleh rakyat Malaysia, tidak kira NGO atau NGI, tanpa mengira kaum, agama, garis politik atau daerah bagi mengukuhkan kedudukan moderat sebagai ciri utama kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya di Malaysia dan untuk menyelamatkan negara daripada para fanatik dan ekstremis yang mula muncul akhir-akhir ini dengan dakwaan mengarut kononnya merekalah personifikasi sebenar kesederhanaan di negara ini.

Kerunsingan Yang di Pertuan Agong membenarkan Surat Terbuka 25 Tokoh Melayu itu serta sokongan yang semakin meningkat terhadapnya daripada rakyat Malaysia berbagai kaum, agama, daerah dan garis politik untuk mengukuhkan Malaysia sebagai sebuah negara yang moderat bagi menenggelamkan suara-suara minoriti para fanatik dan ekstremis agar Malaysia dapat menjadi contoh kepada dunia sebagai sebuah oasis keharmonian pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya serta toleransi dan kebersamaan.

Tiga Perdana Menteri terawal, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn pastinya terkejut dengan dakwaan mengarut pendusta politik, fanatik dan ekstremis hari ini yang cuba menutup retorik dan politik kebencian, ketakutan, tidak toleran, fanatisme dan ekstremisme di sebalik panji-panji kesederhanaan.

Inilah sebabnya mengapa rakyat Malaysia mesti memperingati tiga Perdana Menteri terawal, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein, terutamanya berikutan kegusaran Yang di Pertuan Agong bahawa hubungan antara kaum dan agama di Malaysia tidak pernah sebegini teruk dalam sejarah negara sejak Merdeka pada tahun 1957.

Di bawah tiga Perdana Menteri pertama, asas Malaysia sebagai sebuah negara yang toleran, terbuka, liberal, demokratik, berbilang kaum dan agama serta sekular dengan Islam sebagai agama Persekutuan, tidak pernah disangsikan, dipersoal mahupun dicabar.

Inilah juga asas kepada Perjanjian Sabah dan Sarawak yang termaktub di dalam Perjanjian 20 dan 18 Perkara bagi Sabah dan Sarawak ketika pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Bahkan, sepanjang 47 tahun negara dibina sehingga 2001, asas kukuh pembinaan Malaysia sepertimana yang tertulis di dalam Perlembagaan 1957 dan 1963 tidak pernah disangsikan, dipersoal mahupun dicabar – namun segala-galanya berubah selepas 2001.

Tidak syak lagi bahawa tiga Perdana Menteri pertama pastinya memahami kerisauan baginda Yang di Pertuan Agong tentang hubungan antara kaum dan agama di negara ini, dan pastinya akan mengambil langkah positif dan pro-aktif untuk menangani masalah ini, termasuklah memberi respon pantas dan segera kepada Surat Terbuka oleh 25 Tokoh Melayu itu.

Bolehkah kita berharap Perdana Menteri menunjukkan kualiti setara tiga Perdana Menteri pertama dan mengadakan perjumpaan dengan 25 Tokoh Melayu tersebut sebelum beliau berlepas bagi satu lagi temasya antarabangsa dan mengekalkan reputasi sebagai ‘Perdana Menteri kaki ponteng?

Ulang tahun keputeraan Tunku Abdul Rahman yang ke 112 jatuh pada 8 Februari nanti. Biarlah semua rakyat Malaysia memperingati legasi kesederhanaan Tunku dengan cara yang penuh bermakna bagi memastikan supaya Malaysia terus menjadi wilayah kepada moderat, dan tanpa tempat untuk para fanatik dan ekstremis dari apa jenis sekalipun. – Roketkini.com