Berita

Zahid Hamidi tertangkap berbohong lagi?

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Penjelasan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bahawa Kabinet sekadar mendengar, namun tidak menerima penjelasan Zahid Hamidi tentang suratnya kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) membuktikan Menteri Dalam Negeri itu berbohong.

Manakala Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut memberi penjelasan bahawa beliau tidak pernah menulis surat sokongan untuk mana-mana individu kepada FBI, sama ada sekarang mahupun ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.

Justeru itu Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menasihatkan Zahid untuk tidak lagi berbohong, kerana dia akan terpaksa berbohong seribu kali lagi untuk menutup pembohongannya yang pertama.

“Adakah Zahid telah tertangkap berbohong, dan mengaitkan menteri-menteri lain dalam pentadbiran sekarang atau yang terdahulu secara tidak adil dan memalukan?

“Adalah penting untuk dinyatakan bahawa Zahid menggunakan kata jamak – merujuk kepada Menteri-menteri Dalam Negeri dan bukan kata tunggal, yang bermakna lebih daripada satu menteri sebelumnya pernah menulis surat sepertimana yang beliau lakukan,” kata Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Khamis lalu, Zahid dilihat cuba melepaskan diri ekoran suratnya kepada FBI menjamin integriti individu didakwa raja judi Paul Phua, yang KINI dibicarakan atas tuduhan judi haram di Las Vegas Nevada; kononnya mantan-mantan Menteri Dalam Negeri pernah menulis surat penjelasan sedemikian.

Kit Siang yang juga ahli parlimen selama tujuh penggal berkata, beliau tidak percaya bahawa mantan Menteri Dalam Negeri berkelakuan seperti Zahid, menulis surat secara unilateral kepada FBI tanpa pengetahuan Ketua Polis Negara dan Kementerian Luar.

“Ini kelakuan sebuah kerajaan yang memalukan dan kucar-kacir, dengan menteri bertindak secara tidak berdisiplin, meliar dan secara sesuka hati dan mengkhianati amanah negara terhadapnya,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Zahid sebelum ini menyatakan beliau mempunyai kuasa menulis surat kepada FBI berhubung isu raja judi Paul Phua, namun kemudiannya ‘bersilat lidah’ menyatakan bahawa suratnya kepada FBI adalah penjelasan dan bukannya sokongan.

Dalam nada menyindir Kit Siang turut mencadangkan Zahid untuk mengaitkan semua Menteri Dalam negeri sebelum ini termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Mahathir Mohamad

“Pun begitu, kepentingan negara menuntut kebenaran tentang surat Zahid kepada FBI untuk menjamin karakter seorang raja judi mesti didedahkan sepenuhnya.

“Atau Zahid harus bersedia untuk diasak dengan isu ini ketika persidangan Parlimen bulan Mac akan datang,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com