Berita

Bukan sekadar krisis ekonomi, Malaysia berdepan krisis kepimpinan

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Semakan Belanjawan 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tanpa menangani masalah sebenar membuktikan bahawa Malaysia berada dalam krisis kepimpinan, kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Beliau berkata, Najib tidak memahami realiti perubahan ekonomi global, apatah lagi untuk memperbaiki keadaan.

Menurut Chin Tong, dakwaan Najib kononnya ‘Malaysia tidak berada dalam krisis ekonomi’ menunjukkan kerajaan tidak berupaya memahami cabaran mendatang.

“Najib langsung tidak melakukan sebarang usaha menangani pelbagai kebimbangan ekonomi yang mungkin membawa masalah besar kepada negara.

“Apa yang dilakukan beliau tidak membantu ekonomi, tetapi hanya membuka peluang kontrak kroni sebagai pertukaran sokongan politik.

“Pendek kata, semakan Belanjawan 2015 jauh berbeza dengan keadaan sebenar dan gagal menyakinkan semua pihak,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan

Tambahnya, semakan Belanjawan 2015 hanya percubaan Najib mententeramkan kebimbangan di kalangan agensi penarafan dan bank pelaburan selepas kenyataan Credit Suisse 8 Januari lalu berhubung kesukaran Malaysia mengurangkan defisit lantaran perubahan mendadak harga minyak.

Sedangkan kata Chin Tong, beliau pada 27 Oktober lalu telah menyarankan Najib menyemak semula Belanjawan 2015 berasaskan hasil minyak pada harga AS110 setong bagi tahun 2014 dan AS105 tahun 2015.

Namun, Najib hanya semalam memilih menetapkan harga minyak mentah yang tidak realistik bagi 2015 iaitu AS55 setong, menafikan kuasa pasaran semasa.

“Walaupun kita tidak boleh menolak kemungkinan harga minyak naik lagi, tetapi apa yang diharapkan adalah Najib membentangkan senario harga minyak pada harga AS40, AS30 dan US20 serta bagaimana kerajaan bertindak balas dalam keadaan sebegitu.

“Dengan menetapkan harga minyak pada AS55 setong, tentunya memberikan keselesaan pada Najib untuk tidak membuat perubahan besar, sebaliknya terus berkata defisit Belanjawan hanya akan meningkat dari 3 peratus kepada 3.2 peratus.

“Strategi hubungan awam ini takkan berjaya menipu sesiapa.

“Semua pemerhati tahu harga minyak cenderung menurun dari AS55 setong,” ujarnya – Roketkini.com