Berita

Pilihan raya kerajaan tempatan sebahagian manifesto PR Selangor

PETALING JAYA, 21 JAN: Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San mengingatkan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat Selangor.

Dalam satu kenyataan Weng San berkata, manifesto tersebut ditandatangani Teresa Kok (Pengerusi DAP Selangor), Dr Rani Osman (Pesuruhjaya PAS Selangor) dan Mohamed Azmin Ali (Pengerusi PKR Selangor) sebelum pilihan raya umum ke-13.

“Walaupun cadangan ini tidak disebut dengan nyata dalam manifesto Pakatan Rakyat pusat, tetapi perkara ini telah pun termaktub dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor yang dilancarkan pada tahun 2013,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, manifesto tersebut turut ditandatangani Menteri Besar Selangor ketika itu, iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kata Weng San, beliau merujuk kepada kekeliruan berbangkit berkenaan sama ada cadangan DAP untuk memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Rakyat atau tidak.

Ujarnya, perkara tersebut dinyatakan bab ‘Kerajaan Rakyat’ pada muka surat terakhir manifesto Pakatan Rakyat Selangor seperti berikut: ‘Melaksanakan dasar menurunkan kuasa secara berperingkat menerusi pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan’.

Isi kandungan manifesto ini masih boleh dimuat-turun dan dibaca di laman web Selangorku.

Tambah Weng San, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titahnya sebelum ini berkata Pakatan Rakyat perlu menunaikan semua janjinya dalam manifesto PRU kerana berjaya meyakinkan rakyat semasa PRU13 dengan manifesto Pakatan Rakyat.

“Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mesti melaksanakan dasar untuk menurunkan kuasa secara berperingkat menerusi pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan dalam tempoh lima tahun bermula tahun 2013.

“Diharap perkara ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada rakan-rakan kami di Pakatan Rakyat,” ujarnya. – Roketkini.com