Berita

PLKN gagal dan membazir, wajar dimansuhkan segera – DAPSY

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Teo Kok Seong menggesa kerajaan memansuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang jelas gagal memberikan manfaat kepada pembangunan anak muda.

Kok Seong berkata, masanya telah tiba untuk kerajaan mengkaji semula sama ada perlu PLKN dihentikan atau digantikan dengan program lain.

“Kerajaan wajar mengkaji untuk tidak meneruskan PLKN dan menggantikannya dengan aktiviti ko-kurikulum atau aktiviti badan beruniform yang sedia ada di semua sekolah.

“Ini akan dapat mengurangkan kos dan membolehkan kerajaan untuk memberi lebih tumpuan kepada program yang menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyatan.

Namun katanya, jika PLKN dimansuhkan, kerajaan harus memastikan semua pegawai atau kakitangan PLKN terbela dan diberi tugas \berkaitan ditempat serta bidang bersesuaian.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentang semakan Belanjawan 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam mengumumkan PLKN sesi 2015 ditangguhkan bagi membolehkan kerajaan mendapat penjimatan sebanyak RM400 juta.

Menurut Teo, penangguhan jelas membuktikan kritikan Pakatan Rakyat (PR) selama ini terhadap PLKN yang membazir sumber kerajaan adalah benar dan tepat.

“Selama ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM550 juta sehingga RM650 juta setiap tahun untuk menampung perbelanjaan PLKN.

“Malangnya hasil yang diperoleh tidak begitu baik,” ujarnya. – Roketkini.com