Rencana

Demokrasi dalam masyarakat Malaysia

Sedia maklum parti DAP berpegang kepada ideologi Sosial Demokrasi yang menekankan kepada kebajikan rakyat kebanyakan. Tumpuan mereka adalah untuk kebajikan rakyat mencapai hak yang saksama (equality), keadilan (justice) dan kesatuan masyarakat (solidarity).

Di Malaysia, DAP tidak berubah prinsip utama mereka, iaitu membawa konsep Malaysian Malaysia, berhadapan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum (multi-cultural) dan kepelbagaian agama. Walaupun tuduhan demi tuduhan dibuat kepada DAP bahawa parti ini anti-Melayu jelas parti ini membuka minda masyarakat bahawa mereka membuka ruang kepada semua. Prinsip demokrasi ini yang menjamin keutuhan parti dan terus maju ke hadapan.

Berhadapan dengan pasca-moden, demokrasi dilihat sebagai sistem politik yang telah berjaya membawa manusia kepada hak kebersamaan, toleransi agama dan kebebasan bersuara (freedom of expression)—“I do not agree with what you have to say, but I’ll defend to the death your right to say it”, satu ucapan keramat oleh Voltaire yang dipegang hingga kini. Apatah lagi perdebatan tentang kebebasan bersuara hangat diperbahasakan kini dek isu satira karikatur Charlie Hebdo dan kes pembunuhan ekstremisme di Perancis baru-baru ini, persoalannya adakah di Malaysia memiliki hak bersuara seperti di Perancis? Momokan isu Charlie Hebdo mengukuhkan lagi benteng penolakan terhadap kebebasan bersuara.

Perdebatan terbuka sangat kurang di Malaysia. Malah, media dikawal ketat oleh mereka yang berkepentingan. Selain itu, wacana tentang demokrasi tidak diperluaskan hingga ke media massa. Kesan ini, membawa kepada kejumudan masyarakat Malaysia yang hanya hidup dalam kerangka negara pegangannya, tetapi tidak selari dengan hak-hak yang digariskan dalam demokrasi itu sendiri. Sewajarnya, masyarakat Malaysia perlu mengalih kepada pembincangan hak-hak asasi manusia, dialog terbuka, hak bersuara, kesaksamaan dan keadilan sesama bangsa. Ini bertujuan untuk membawa konsep demokrasi meresap dalam jiwa masyarakat Malaysia.

Contohnya, dialog terbuka berkenaan agama dan bangsa perlu mengandungi unsur-unsur keterbukaan, sikap kritis dan berani mendengar bagi memahami orang lain. Tetapi adakah ini yang dilakukan oleh kerajaan sekarang? Perdana Menteri, Datuk Seri Najib membawa konsep 1Malaysia, tetapi ada pihak yang menafsirkan kata-kata Najib itu sebagai usaha untuk meminggirkan orang Melayu, malahan ada daripadanya bimbang hak Melayu akan tergugat.

Sudah lebih 50 tahun Malaysia merdeka daripada penjajah dan hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum tetapi sikap Melayu-sentrik masih kuat dalam jiwa anak Melayu kini. Di manakah silapnya?

Tidak dinafikan politik Malaysia berlandaskan sistem demokrasi Raja Berpelembagaan,, namun prinsip demokrasi dalam masyarakat seperti dilenyapkan dalam fahaman anak muda. Apakah ini disengajakan atau ‘mereka’ mempunyai agenda tertentu untuk menjaga kepentingan peribadi.

Saddam Hussein sendiri dipilih dalam sistem politik berlandaskan pilihan raya tetapi prinsip-prinsip tidak berlandaskan kepada demokrasi yang sewajarnya. Begitu juga dengan Hitler yang juga memperoleh kuasa melalui pilihan raya, tidak terkecuali Anwar Sadat dan Hosni Mubarak di Mesir.

Mereka menempel diri mereka dalam sistem demokrasi tetapi atas dasar untuk kepentingan mereka sendiri bukan untuk kebajikan rakyat. Cocok seperti kata Paulo Freire berkenaan seorang sosok tubuh yang bergerak dalam gerakan untuk pembebasan manusia, yang turut sama merintih bersama kaum tertindas, tetapi setelah mendapat kuasa mereka mula menindas kaum yang tertindas pula.

Seperti yang disarankan oleh Freire, pembebas atau mereka yang membawa semangat kebebasan perlu bersama-sama rakyat yang tertindas bagi melawan hegemoni yang mengikat leher kaum tertindas dengan perkataan-perkataan yang mudah difahami kaum tertindas ini.

Pembebas ini perlu menjadi pendidik kepada rakyat bahawa mereka adalah penyelamat untuk membawa rakyat mampu bangkit melihat kebobrokan kerajaan sedia ada. Jangan kita lupa, gerakan di Hong Kong sekarang adalah menuntut hak-hak demokrasi agar bebas rakyat memilih pemimpin mereka sendiri. Gerakan dimulai remaja berumur 17 tahun menjadi viral sehingga rakyat bangkit menuntut hak demokrasi itu.

Selagi mana rakyat masih tidak memahami demokrasi yang sebenarnya, selagi itu kita semua akan berlegar dalam politik makan dan minum. Jangan kita berharap rakyat faham pembincangan ideologi sosialisme, liberalisme, feminisme, kapitalisme atau pembincangan hak-hak asasi manusia, kerana prinsip asas demokrasi masih di peringkat yang kabur.

Semata-mata demokrasi itu untuk sistem politik, atau sebenarnya menjaga status quo, itu terpulang kepada rakyat untuk menilai, tuntas benar tindakan kerajaan seperti bermain tarik tali dalam membawa hak-hak asasi manusia, kebebasan bersuara, pemansuhan AUKU, dan pemansuhan Akta Hasutan 1948.

Kesimpulannya, parti yang dikatakan parti chauvinist ini sejak dahulu tidak pernah lari daripada prinsipnya untuk membawa prinsip demokrasi kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan kaum, malahan tidak pula terikat kepada politik makan dan minum semata-mata. Sewajarnya masyarakat Malaysia bangkit dan bertanya dii mana prinsip demokrasi itu?

Penulis adalah alumni Sekolah Demokrasi