Berita

DUN Sabah perlu adakan sidang khas semakan belanjawan

KOTA KINABALU, 22 JAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman perlu mengumumkan sidang khas DUN bagi membincangkan belanjawan negeri 2015, kata Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin.

Namun katanya, kerajaan negeri tidak wajar mencontohi langkah dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang melakukan penstrukturan semula tanpa melibatkan Parlimen dan Kabinet.

“Sabah kena buat lebih baik, iaitu dengan membahaskan belanjawan negeri di sidang khas DUN,’ kata Foong Hin dalam satu kenytaaan.

Belanjawan Sabah 2015 dibentangkan pada November 2014 berjumlah RM3.8 bilion, mencatat lebihan buat pertama kali semenjak 2008, manakala kerajaan negeri menjangkakan hasil RM 3.862 bilion bagi tahun ini.

“Antara hasil dijangka pada 2015 adalah royalti minyak sebanyak lima peratus oleh Petronas kepada negeri berjumlah RM 1.147 bilion,” ujarnya.

Menurut Foong Hin, penurunan 50 peratus harga minyak dunia bermakna kekurangan RM 0.573 bilion, menghampiri 15 peratus penurunan jangkaan hasil yang berjumlah RM3.862 bilion.

Sedangkan jangkaan lebihan belanjawan adalah RM 0.05 bilion atau RM 50 juta, menafikan lebihan belanjawan yang diumumkan November lepas.

“Apa pelan tindakan Kerajaan Negeri untuk selesaikan isu ini, atau kita masih komited dengan belanjawan yang dikatakan ada lebihan sejak 2008 itu?

“Saya sudah bangkitkan dalam sidang DUN dan bertanya atas dasar apa Ketua Menteri buat pengiraan?

“Jika dulu harga minyak USD 100 setong, kini harga minyak dunia sudah berubah kepada USD47, dan boleh terus jatuh,” kata Foong Hin.

“Apakah pelan dan tindakan yang harus diambil kerajaan negeri untuk selesaikan isu ini?

“Apa hasil baru yang kerajaan negeri harus fikirkan? Dan apakah perbelanjaan yang harus dipotong? Inilah agenda yang harus didebatkan dalam sidang khas DUN,” ujar Foong Hin.

Tambahnya, sidang khas DUN perlu diadakan dalam tempohh 48 jam bagi membincangkan semakan semula belanjawan negeri.

“Sidang khas juga perlu membahaskan isu PATI, cukai eksport makanan laut, tarif elektrik, dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” ujarnya – Roketkini.com