Berita

Majlis Perbandaran Muar digesa batal larangan berniaga

MUAR, 22 JAN: Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa menggesa Majlis Perbandaran Muar (MPM) menarik larangan keatas penjaja kecil yang berniaga di Jalan Maharani berhampiran hentian bas ekspres Bentayan.

Teck Hwa dalam satu kenyataan berkata, beliau menerima aduan bahawa MPM meletakkan pasukan pemantau bagi memastikan tiada lagi penjaja kecil berniaga di kawasan tersebut.

“Di saat situasi ekonomi yang agak perlahan ketika ini, sudah pasti rakyat merasai kesannya. Tidak bolehkah MPM mengambil pendekatan yang sedikit lembut dalam berhadapan dengan penjaja-penjaja ini? kata teck Hwa dalam satu kenyataan.

Ujarnya, jika aspek kebersihan kawasan penjaja ini menjadi halangan maka MPM dan Jabatan Kesihatan Daerah Muar boleh melakukan rondaan dan pemeriksaan dan mengambil tindakan serkianya terus ingkar.

“Adalah lebih baik sekiranya MPM yang mempunyai tenaga kerja pemantau menempatkan pasukan meninjau dan melaporkan keadaan prasarana awam yang rosak dan tidak berfungsi,’ kata Teck Hwa.

Ujarnya, MPM perlu melihat akar permasalahan trafik di bandar ini yang berpunca daripada hentian bas ekspres Bentayan yang masih tidak dialihkan.

Tindakan MPM menghalang penjaja kecil menjalankan perniagaan adalah sindrom penafian, sedangkan sebagai pihak berkuasa tempatan MPM seharusnya memahami punca kesesakan jalanraya di sepanjang Jalan Maharani.

“Bertahun-tahun penduduk Muar menghadapi kesulitan. Tindakan MPM menaiktaraf hentian tersebut tidak menyelesaikan masalah.

“Untuk menutup kelemahan dan ketidakmampuan MPM menyelesaikan masalah trafik, maka penjaja-penjaja kecil di waktu malam ini menjadi mangsa,” kata Teck Hwa.

Yang Di-Pertua MPM Ramlee Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan berkata, stesen bas Bentayan akan dipindahkan ke laluan pintasan berhampiran Jalan Datuk Kosai, melalui sebuah projek integrasi ‘Maharani Sentral’ dilengkapi 40 tempat letak kereta.

Namun, cadangan pembinaan kompleks berjumlah RM70 juta yang turut memindahkan pasar Maharani dan kompleks kereta sewa itu masih belum dimulakan sehingga hari ini.

Justeru itu kata Teck Hwa, MPM perlu sentiasa memaklumkan perkembangan pembangunann dalam masa sama mendengar keluh kesah rakyat dan bukannya menggunakan kuasa tanpa ihsan dan kemanusiaan.

“Saya menyeru pihak MPM untuk membatalkan keputusan larangan penjaja-penjaja kecil daripada berniaga,” tegas Teck Hwa. – Roketkini.com