Berita

Najib tak berani isytihar darurat banjir kerana krisis kepimpinan?

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkeras tidak mahu mengisytihar darurat semasa banjir melanda dipersoalkan bukan sahaja oleh pembangkang, malah oleh bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Ini kerana Daim dalam wawancaranya bersama akhbar Chinapress Daily membandingkan Najib dan Tun Mahathir, dengan mengatakan perdana menteri keempat itu akan mengisytiharkan darurat jika berada dalam kedudukan Najib.

Justeru itu, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok mempersoalkan perkara sama, berikutan tindakan lembab Najib menjawab persoalan tersebut.

“Sampai hari ini Najib gagal menjawab mengapa tak mahu mengisytiharkan darurat?

“Kenapa Najib tak mahu isytihar darurat untuk selesaikan isu bencana banjir ketika dia pulang dari Hawaii pada 27 Disember tahun lalu? kata Teresa dalam satu kenyataan

Pada 27 Disember lalu, Najib mengatakan tidak ada keperluan darurat di Kelantan kerana menurutnya akan memberi kesan kepada syarikat insuran akibat tuntutan pemilik premis dan kenderaan.

Ujar Teresa, sikap Najib menimbulkan persoalan, lebih-lebih lagi alasannya telah dijawab Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) yang mengatakan secara terbuka bahawa tuntutan tetap dibayar meskipun darurat diisytiharkan.

“Jadi, apa alasan Najib sebenarnya yang buatkan dia berkeras tidak mahu isytihar darurat?

“Jika dia isytihar darurat, ini membolehkan kerajaan pusat, negeri dan PBT dapat mobilisasi semua sumbernya dengan lebih efektif dalam menyelenggara banjir.

“Adakah Najib tidak mempunyai kebolehan mengurus krisis sebagai alasan kegagalannya kepada perkara yang paling diperlukan ketika banjir? soal Teresa – Roketkini.com