Berita

Pembinaan loji nuklear: Kerajaan digesa tak sembunyi maklumat

Gambar fail

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa kerajaan telus dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat berhubung pelan pembinaan loji nuklear di Malaysia.

“Sebagai langkah pertama ke arah tadbir urus yang baik, kerajaan perlu mewujudkan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen terhadap pembinaan loji tenaga nuklear,” kata Charles dalam satu kenyataan.

Ujarnya, kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa cadangan pembinaan loji tenaga nuklear akan diputuskan selepas kajian komprehensif termasuk rundingan awam selesai.

Menyanggah pengumuman itu Charles menegaskan, kajian menyeluruh dan rundingan awam tiada gunanya kerana kerajaan sendiri telah menyiapkan dua set pelan program tenaga nuklear tahun lalu.

Menurutnya, dua pelan ini adalah bagi membangunkan tiga hingga empat loji tenaga nuklear (NPP) untuk membekalkan kira-kira 15 peratus daripada permintaan elektrik negara pada tahun 2030.

“Laporan yang sama juga menyebut bahawa rang undang-undang tenaga nuklear akan dibawa ke Parlimen tahun ini dan loji kuasa pertama dijadualkan akan memulakan operasi pada 2021,” ujarnya.

Kata Charles, dari jawapan Parlimen kepadanya tahun lalu, kerajaan menyatakan bahawa mereka sedang mengkaji kemungkinan dua loji kuasa baru (1000 Megawatt setiap satu) akan dibina.

Difahamkan kerajaan telah menubuhkan Pelan Pembangunan Infrastruktur Kuasa Nuklear (NPIDP) untuk menerajui projek tersebut termasuk mengenal pasti tapak pembinaannya.

Dalam jawapan Parlimen itu juga, kerajaan kini berunding dengan pelbagai agensi antarabangsa termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk mendapatkan lesen dan permit daripada badan-badan kawal selia nuklear antarabangsa.

“Menerusi jawapan yang diberi, jelas kerajaan sememangnya merancang untuk membina loji kuasa nuklear, dan agenda ini sedang bergerak,” kata Charles. – Roketkini.com