Berita

Semakan belanjawan 2015 mengelirukan, catat perbezaan RM2 bilion

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Terdapat beza RM2 bilion dalam penstrukturan semula belanja pembangunan dalam belanjawan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming.

Kata Kian Ming, Najib mengekalkan angka belanjawan, sedangkan terdapat banyak perkara yang jauh bercanggah dari angka sebenar.

“Dalam semakan semula Belanjawan, Najib menyebut angka RM48.5 billion belanja pembangunan akan dikekalkan.

“Tapi ketika beliau membentangkan belanjawan 2015 di Parlimen tahun lalu, belanja pembangunan bukan RM48.5 billion, tetapi RM50.5 billion untuk tahun 2015,” kata Kian Ming dalam satu kenyataan.

Mantan penganalisis Dasar Sosio Ekonomi Pembangunan dan Penyelidikan (SEDAR) itu menyatakan, semakan anggaran belanjawan dan pekeliling terkini Perbendaharaan telah dibuat bagi mengesahkan angka tersebut.

Kedua-dua dokumen itu jelas membuktikan perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan untuk 2015 adalah RM50.5 bilion.

“Dengan anggaran tidak konsisten, bagaimana Najib memberi keyaiknan, sedangkan beliau sendiri gagal memberikan angka tepat? soalnya.

Menurut Kian Ming, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja tidak mampu meyakinkan rakyat, malah gagal memberikan angka tepat dalam semakan semula Belanjawan 2015.

Akhbar The Edge semalam pula telah melaporkan keraguan pasaran mengenai semakan Belanjawan 2015.

The Edge menyebut, keraguan tersebut berkisar mengenai sikap terlalu optimis berhubung unjuran purata harga minyak dan keupayaan kerajaan menyimpan hasil pendapatan serta komitmen perbelanjaannya.

Tambah Kian Ming, kenyataan Najib berhubung harga minyak bagi mengira Belanjawan jauh bercanggah dari Perbendaharaan.

“Najib mendakwa kata sepakat dikalangan ahli ekonomi bahawa unjuran paras harga asas AS100 yang dibentangkan dalam Belanjawan 2015 tidak lagi realisitik.

“Tapi berdasarkan Anggaran Perbendaharaan Hasil Kerajaan 2015, harga minyak yang digunakan untuk mengira Belanjawan adalah AS105 setong dan bukannya AS100,” katanya. – Roketkini.com