Berita

Semakin ramai rakyat hilang keyakinan pada kerajaan – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Kegagalan kerajaan menangani lima isu utama yang melanda negara akan mengakibatkan peratusan keyakinan rakyat semakin menurun, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata demikian merujuk kajian Edelman Trust Barometer yang mendapati hanya 45 peratus rakyat mempercayai kerajaan berbanding 2014 sebanyak 54 peratus berdasarkan penilaian pada November tahun lalu.

“Keyakinan rakyat terhadap kerajaan akan menjunam lebih jauh di bawah 45 peratus jika kajian tersebut dijalankan pada tahun 2015 dan bukannya antara 13 hingga 24 November tahun lalu,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Menurutnya, peratusan tersebut tentu terus berkurangan jika kajian dibuat sekarang berikutan kegagalan menangani isu seperti bencana banjir, pendatang asing tanpa Izin (PATI) dan surat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada FBI.

Kata Kit Siang, penafian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Malaysia tidak berada dalam krisis ekonomi selain isu dibangkitkan melalui surat terbuka 25 tokoh Melayu juga merupakan penyebab peratusan akan lebih merudum.

Malah, kajian itu turut menunjukkan Singapura dan Indonesia telah mencatat kepercayaan kepada kerajaan lebih tinggi, iaitu 70 peratus dan 72 peratus.

Indonesia mencatat peningkatan mendadak sebanyak 19 peratus dari 53 peratus berikutan pelantikan Joko Widodo (Jokowi) sebagai Presiden, manakala Singapura mencatat penurunan hanya 5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kit Siang menyatakan, keadaan pentadbiran kerajaan adalah punca mengapa Malaysia memperoleh peratusan terendah dalam sejarah negara.

“Najib sendiri kurang mempercayai Kabinet dan Parlimen.

“Sebab itu beliau tidak membawa semakan semula Belanjawan 2015 kepada Kabinet untuk diluluskan serta menolak sidang khas parlimen yang sebelum ini meluluskan Belanjawan,” ujar Ki Siang. – Roketkini.com