Berita

Semakan Belanjawan 2015: Kerajaan potong peruntukan pendidikan?

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Kerajaan digesa mengemukakan jumlah perbelanjaan pengurusan universiti awam (IPTA) yang telah dipotong melalui semakan semula Belanjawan 2015.

Menurut Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming, pemotongan terbesar perbelanjaan Belanjawan adalah semakan pemindahan dan geran kepada badan berkanun, GLC serta Dana Amanah Kerajaan yang dikatakan dijimatkan berjumlah RM3.2 bilion.

“Adalah tidak adil untuk universiti awam kita menderita akibat pemotongan dana apabila program dan perbelanjaan lain seperti RM30.7 juta diperuntukkan untuk PERMATA di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kian Ming, semua universiti awam adalah badan berkanun, dan oleh itu institusi tersebut perlu dimaklumkan perbelanjaan operasi yang akan dipotong.

“Rakyat ingin mengetahui jumlah dana kepada universiti-universiti awam akan terjejas akibat kajian semula perbelanjaa,” ujar Kian Ming.

Menurut Laporan Ekonomi 2014-2015, pemberian dana kepada badan berkanun daripada perbelanjaan operasi dianggarkan sebanyak RM16.7 bilion, dan sebahagian besar diperuntukkan kepada universiti awam.

“Berdasarkan Anggaran Perbelanjaan Belanjawan 2015, RM7.4 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi 20 universiti awam.

“Ini mewakili 44 peratus daripada RM16.7 bilion yang diperuntukkan kepada badan-badan berkanun dan tidak mungkin universiti-universiti awam kita tidak akan mengalami pemotongan akibat kajian semula perbelanjaan.

“Persoalannya adalah, berapa banyak ia telah dipotong?” soal Kian Ming. – Roketkini.com