GELANG PATAH, 24 JAN: Dakwaan Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa amalan mengutus surat kepada FBI dilakukan Menteri Dalam Negeri dinafikan Tan Sri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya berkata, kini tinggal tiga lagi mantan menteri yang belum bersuara bagi menyatakan sikap terhadap dakwaan Zahid Hamidi.
“Mereka harus bersuara sebagai seorang negarawan bagi menjernihkan keadaan.
“Jangan bersikap seperti pelarian dari keadilan untuk mencari perlindungan dari kebenaran, jika mereka sudah melakukan perkara yang merugikan negara,” tegas Kit Siang.
Ketiga trio tersebut ialah Datuk Seri Mohd Radzi Syeikh Ahmad, Datuk Azmi Khalid dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Justeru itu, Kit Siang menggesa kesemua Menteri Dalam Negeri sejak dari 15 tahun lalu agar rekod mereka dapat dibersihkan, bukan hanya demi kepentingan negara, malahan membersihkan nama mereka yang tercemar sebagai menteri.
“Nampaknya, Zahid membuat dakwaan untuk mengatakan bahawa dia tak buat apa-apa yang salah ketika mengutus ‘surat penjelasan’ mengenai raja judi 14K Paul Phua kepada FBI.
“Adakah kabinet yang bersidang Rabu ini akan sekali lagi membincangkan penipuan Zahid tentang surat kepada FBI melibatkan isu akauntabiliti kerajaan?
“Adakah mereka boleh menggantung Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri kerana melibatkan soal kepentingan nasional?
“Zahid orang besar politik Malaysia. Dalam tempoh seminggu sahaja, kredibilitinya hancur hanya kerana memperbodohkam kabinet dan rakyat Malaysia tentang surat FBI itu,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com