Berita

Denda lewat daftar GST, kerajaan bebankan peniaga kecil

KLUANG, 25 JAN: Denda keatas perniagaan kerana kelewatan mendaftar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) membebankan perniagaan kecil, kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Ini kerana tempoh pendaftaran wajib telah berakhir pada 31 Disember 2014, menyebabkan peniaga yang mendaftar GST tahun ini akan dikenakan jumlah denda lebih tinggi.

Chin Tong merujuk kenyataan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad yang menyatakan bahawa denda RM100 sehari kepada mereka yang mendaftar 1 hingga 20 Januari, RM150 sehari untuk mereka yang mendaftar dari 21 Januari hingga 9 Februari, dan sebagainya.

“Banyak perniagaan kecil kini perlu membayar denda yang terlalu tinggi disebabkan pelaksanaan tergesa-gesa kerajaan, tanpa masa mencukupi bagi pendaftaran, taklimat dan persediaan,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Justeru itu beliau menggesa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak menggesa Khazali menarik arahan dan tidak menguatkuasakan arahan tersebut, sebalknya mengambil pendekatan pendidikan.

“Berapa banyak maklumat, dan bagaimana caranya, tempat dan masa untuk mendaftar kepada pemilik perniagaan kecil, terutamanya di kawasan luar bandar dan mereka yang mempunyai akses terhad kepada saluran media? soal Chin Tong.

Khazali sebelum ini berkata, mengikut Seksyen 21 (2) Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014, perniagaan yang tidak berdaftar untuk GST akan dikeluarkan notis dalam tempoh 14 hari atau menghadapi hukuman dan pendaftaran secara automatik.

Sedangkan kata Chin Tong, proses tersebut biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan untuk perniagaan mendaftar, mendapatkan kakitangan terlatih, melakukan perubahan perisian untuk mematuhi keperluan GST.

Peniaga juga terpaksa menukar semua dokumen pembiayaan kepada invois cukai, menukar akaun cukai dari laporan tahunan kepada laporan suku tahun dan menyusun semula harga disebabkan rantaian bekalan yang memberi kesan kepada margin keuntungan.

“Tanpa masa mencukupi bagi perniagaan menyiapkan diri mereka, adalah tidak adil kerajaan menghukum tanpa panduan dan menawarkan penyelesaian yang praktikal,” ujar Chin Tong. – Roketkini.com