Berita

DAP Selangor cadang batal permohonan KIDEX lanjut tempoh kelulusan

KUALA LUMPUR, 26 JAN: DAP hari ini menyeru kerajaan Pusat menolak permintaan KIDEX melanjutkan tarikh akhir kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan Selangor berhubung perjanjian konsesi lebuh raya Kinrara-Damansara.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata dalam lawatan rasmi 31 Oktober tahun lalu, Menteri Besar Selangor Azmin Ali menggariskan dengan jelas syarat-syarat untuk KIDEX mendapat pertimbangan kelulusan dari kerajaan negeri.

Menurutnya, dalam kandungan syarat itu juga menyebut, berikutan amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan negeri, Azmin menuntut perjanjian konsesi didedahkan kepada orang ramai.

“Syarat-syarat tersebut antaranya menghendaki syarikat konsesi menyatakan kesan trafik dan kajian lain yang memberi manfaat kepada pengguna dari segi pengurangan kesesakan lalu lintas dan masa perjalanan.

“Mesti ada ketelusan pada kadar pulangan termasuk kadar tol yang akan dikenakan bagi memastikan tiada keuntungan keterlaluan diperoleh pemegang konsesi.

“Kegagalan KIDEX mematuhi syarat ditetapkan telah dimaklumkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), mengikut tarikh akhir 14 Februari dan hanya mendedahkan kelemahan mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

The Malay Mail Online semalam melaporkan, Ketua Pegawai Operasi KIDEX Sdn Bhd Dr Shaharizuan Shafiei bersetuju mendedahkan butiran perjanjian konsesi lebuh raya, namun hanya kepada kerajaan negeri dan bukan untuk orang awam.

“Kegagalan KIDEX mematuhi syarat-syarat jelas dan tegas kerajaan negeri, secara automatik bermakna projek lebuh raya tidak akan dipertimbangkan untuk diluluskan,” tegas Tony. – Roketkini.com