Berita

Tuduh PR Selangor senyap isu KIDEX berniat jahat

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Pengerusi DAP Selangor Tony Pua mengecam dan menafikan sepenuhnya NGO ‘Katakan Tidak Pada Kidex (SNTK)’ yang melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap pimpinan Kerajaan Negeri berhubung projek Lebuhraya kinrara-Damansara (KIDEX).

Menjawab kecaman kononnya pemimpin Pakatan Rakyat mendiamkan diri dan gagal melaksanakan tanggungjawab menghalang projek terbabit, Tony menegaskan beliau secara peribadi telah mengeluarkan sekurang-kurangnya setengah dozen kenyataan berhubung KIDEX.

“Rakan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran, ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin dan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San juga mengeluarkan kenyataan lebih dari itu sama ada secara individu atau berkumpulan.

“Dalam kesemua kenyataan yang kami keluarkan, tidak ada langsung menyebut tentang sokongan terhadap projek KIDEX tapi banyak mempersoalkan rasional dan justifikasi projek lebuh raya itu,” kata Tony dalam satu kenyataan hari ini.

“Tuduhan yang diulang-ulang bahawa PR ‘benar-benar senyap’ adalah pembohongan berniat jahat direka pemimpin tertentu dalam SNTK untuk menghasut kebencian dan kemarahan terhadap wakil rakyat dan kerajaan negeri,” tegasnya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu menyatakan, dakwaan Kerajaan Negeri mengkhianati rakyat dengan meluluskan projek juga sama sekali tidak benar.

“Kerajaan negeri tidak pernah meluluskan projek KIDEX dan tidak timbul soal pengkhianatan dalam isu ini.

“Dalam portal The Malay Mail online bertarikh 23 Januari lalu, KIDEX sendiri menyatakan bahawa pihak mereka bersedia memohon lanjutan tarikh akhir perjanjian konsesi berikutan keengganan kerajaan negeri meluluskan projek tersebut.

“Kelulusan dan penganugerahan projek lebuhraya ini dibuat kerajaan persekutuan. Maka, sebarang kecaman harus mengarah kepada pihak yang melulus dan menganugerahkan projek,” ujarnya.

Tony turut mempertahankan tuduhan yang dilemparkan kononnya Menteri Besar Selangor Azmin Ali sengaja bermain tarik tali dengan tidak segera menolak KIDEX.

“Azmin memahami KIDEX merupakan satu isu yang sangat penting dan menekankan bahawa ‘setiap lebuhraya yang akan dibina mesti membuktikan ia dapat memberi manfaat kepada rakyat’.

“Beliau sendiri telah menggariskan syarat-syarat ketat yang mesti dipatuhi KIDEX sebelum permohonan mereka akan dipertimbangkan,” katanya.

Tambah Tony, setakat ini kerajaan negeri tidak mungkin meluluskan projek KIDEX kerana kegagalan mengikut syarat-syarat seperti penilaian kesan trafik, kadar tol yang dicadangkan dan keengganan mendedahkan keuntungan serta tidak mahu menyatakan perjanjian konsesi kepada umum. – Roketkini.com